KUALA LUMPUR: Orang ramai bakal menikmati diskaun 30 peratus bagi semua tiket kelas ekonomi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selama sebulan sempena pembukaan operasi yang dijangka bermula 12 Disember ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemberian diskaun itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati perkhidmatan ECRL pada kadar tambang lebih rendah sepanjang bulan pertama operasinya.
Menurutnya, diskaun tersebut khusus untuk penumpang biasa yang tidak menerima kemudahan tambang konsesi.
“Sempena pembukaan ECRL, diskaun 30 peratus akan diberikan kepada orang ramai bagi semua tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula Disember ini.
“ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember dan kita akan memulakan penjualan tiket tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar sempena Transport Expo Asia 2026 (TXA 2026) di ibu negara, hari ini.
Menurut Anthony, empat kategori penumpang yang diumumkan sebelum ini akan menikmati diskaun konsesi sebanyak 50 peratus secara tetap.
Katanya, kategori berkenaan termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar.
“Bagi kategori yang layak menerima tambang konsesi, mereka akan menikmati diskaun 50 peratus secara tetap.
“Bagaimanapun, diskaun 30 peratus ini hanya diberikan kepada penumpang biasa sempena pembukaan ECRL dan tidak boleh digabungkan dengan diskaun konsesi sedia ada,” katanya. – UTUSAN











