KTMB nafi lantik pihak ketiga ambil pekerja - Utusan Malaysia

KTMB nafi lantik pihak ketiga ambil pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan melantik mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja, susulan kewujudan akaun TikTok ‘kerjaya.ktmb’ yang menyalahgunakan nama dan logo syarikat itu bagi menawarkan pekerjaan palsu.

KTMB memaklumkan akaun berkenaan juga cuba mendapatkan maklumat peribadi pengguna dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada serta tidak memberikan maklumat peribadi melalui saluran yang tidak disahkan.

“KTMB ingin menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana pihak ketiga atau mewujudkan akaun media sosial khas untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja seperti yang didakwa oleh akaun berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat pengendali perkhidmatan rel itu memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan nama dan logo KTMB serta penyebaran tawaran pekerjaan palsu berkenaan.

“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penipuan, penyamaran, penyalahgunaan identiti korporat atau apa-apa perbuatan lain yang menyalahi undang-undang,” menurut KTMB.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta merujuk maklumat berkaitan peluang kerjaya, pengambilan pekerja dan pengumuman rasmi KTMB menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my serta saluran media sosial rasmi syarikat.

KTMB turut menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan nama, logo dan identiti korporat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keselamatan maklumat peribadi orang ramai.

Syarikat itu juga merakamkan penghargaan kepada pemilik akaun media sosial Syed Al Hafiz atas keprihatinan dan inisiatifnya berkongsi maklumat serta mengingatkan orang ramai mengenai cubaan penipuan berkenaan.

Semakan Bernama terhadap akaun TikTok berkenaan mendapati akaun itu masih boleh diakses, dengan hantaran terbaharu dipaparkan kira-kira 12 jam sebelum semakan dibuat.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini