Kerajaan negeri semak penempatan haram wujud lebih 30 tahun - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri semak penempatan haram wujud lebih 30 tahun

Penempatan haram
ANTARA rumah kongsi dibina menggunakan kayu dan papan terpakai yang terdapat dekat salah sebuah kawasan penempatan haram dekat Setia Alam, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Lebih 80,000 penempatan haram di atas tanah milik kerajaan di negeri ini dilapor diselesaikan kecuali pembinaan di atas-atas tapak persendirian yang didakwa memerlukan perbincangan antara pihak berkuasa dan pemilik

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan menyemak kewujudan penempatan-penempatan haram yang masih wujud di negeri ini dan merujuk kepada dasar kerajaan sebelum ini.

Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan secara terperinci berkenaan penyelesaian lebih 80,000 penempatan itu dari segi lokasi dan tempoh isu tersebut diselesaikan.

“Kita akan semak balik dan dasar kita sebelum ini kalau di tanah kerajaan yang banyak kita sudah selesaikan lebih 80,000 tapak tetapi yang itu mungkin melibatkan kawasan persendirian. Bila di kawasan persendirian, kita perlukan perbincangan (dengan pemilik) katanya ketika ditemui,” malam tadi.

Utusan Malaysia pada Sabtu lalu melaporkan lebih 200 rumah kongsi dibina dalam penempatan haram sekitar Seksyen U14 berhampiran Kampung Budiman dan perbandaran baharu, Setia Alam di ibu negeri ini.

Penempatan tersebut dikatakan wujud lebih 30 tahun dan dibina dalam ladang kelapa sawit untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Malah terdapat kawasan penempatan yang dipagar dengan zink bagi mengawal pergerakan keluar masuk.

Selain diduduki dengan bayaran sewa yang murah, penempatan sedemikian juga didakwa menjadi tempat perlindungan kepada warga asing yang sudah tamat tempoh pasport antarabangsa serta luput permit pekerjaan.

Sementara itu, Amirudin dalam perkembangan berasingan memaklumkan beliau akan mengemukakan cadangan penyelesaian kepada penduduk Taman Sungai Sireh, Klang yang terjejas dengan pembinaan Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, cadangan tersebut akan dimaklumkan kepada penduduk pada Rabu ini selepas pertemuan diadakan antara mereka dan wakil kerajaan termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang.

“Taman Sungai Sireh mungkin ditimbulkan (masalah pemindahan) pada beberapa hari lalu dan ia adalah hasil daripada pertemuan yang kita laksanakan dan pihak pejabat tanah akan mengemukakan dalam mesyuarat terbaru berkenaan dengan penempatan semula yang mungkin ada kebimbangan suatu ketika dahulu.

“Tetapi, sebagaimana janji saya bahawa apabila masanya sampai iaitu 2024 dan 2025, kita akan cuba untuk memberikan formula terbaik kepada penduduk di Sungai Sireh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya