MUAR: Abang kepada seorang daripada tahanan rakyat Malaysia di Kem Guantanamo, Cuba berharap adiknya dapat dibawa pulang, seterusnya menjalani hukuman di negara ini.
Menurut Najib Lep, 60, adiknya, Mohammed Nazir, 48, akan dibawa balik selepas dijatuhkan hukuman minggu hadapan apabila membuat pengakuan bersalah kira-kira 22 tahun ditahan di kem itu.
Seluruh keluarganya di Muar dan Pagoh amat berharap Mohammed Nazir menjalani hukuman mengikut undang-undang di negara ini.
“Nazir merupakan anak yatim kerana dilahirkan hanya selepas 17 hari arwah ayah meninggal dunia pada Disember 1976 dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu.
“Justeru, jika perlu menjalani sisa hukuman dari tarikhnya ditahan biarlah dilakukan di negara ini agar hidup matinya terbela dan di hadapan keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Najib mengulas laporan media semalam menyatakan dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 mungkin akan dibawa balik ke negara ini selepas hukuman dijatuhkan.
Dalam kejadian berdarah itu, seramai 200 orang dilaporkan terkorban.
Mohammed Nazir dan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dituduh sebagai rakan sejenayah dengan Hambali dan didakwa bersama, namun kes diasingkan pada tahun lalu. – UTUSAN










