Kampung Johan Setia sumbang 30 peratus bekalan sayur - MB - Utusan Malaysia

Kampung Johan Setia sumbang 30 peratus bekalan sayur – MB

Sayur warga asing
WARGA asing didakwa menguasai kebun sayur dekat Kampung Johan Setia di Klang, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengakui kewujudan kebun-kebun sayur berkeluasan kira-kira 2.585.4 hektar dekat Kampung Johan Setia, Klang menyumbang 20 hingga 30 peratus bekalan di Lembah Klang.

Bagaimanapun, beliau menafikan kebun-kebun tersebut dimiliki oleh warga asing sebaliknya ia masih milik penduduk tempatan dan individu dimaksudkan adalah pekerja-pekerja di sana.

“Saya rasa (penduduk) membuat andaian berdasarkan pemerhatiannya yang melihat ramai warga asing yang bekerja di kawasan terbabit.

“Mungkin ada pemilik kebun yang menggajikan pekerja warga asing untuk bekerja untuk kerja-kerja penanaman sayur di sana,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Menteri Besar Selangor, hari ini.

Beliau menambah, namun Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang sudah pun memanggil pengusaha-pengusaha kebun terbabit untuk menangani masalah lambakan pekerja kebun dalam kalangan warga asing.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan ratusan lot tanah yang mampu memuatkan lebih 3,000 padang bola sepak bertaraf antarabangsa di kampung tersebut dikuasai oleh warga asing yang melakukan aktiviti pertanian sayur-sayuran.

Penguasaan mereka didakwa berlaku lebih 10 tahun lalu sehingga warga asing terbabit mempunyai ekosistem perniagaannya tersendiri seperti jadual penanaman sayur, peraih serta transaksi jualan yang direkodkan dalam bahasa ibunda mereka.

Situasi tersebut didakwa mencetuskan kebimbangan penduduk apabila setiap lot dikatakan memiliki antara empat hingga lapan warga asing yang menyebabkan kebanjiran komuniti itu dalam kawasan kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri termasuk PDT Klang sedang mengatasi masalah kebanjiran warga asing di seluruh negeri khususnya di kampung berkenaan.

“Walau bagaimanapun, saya mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa ataupun agensi berkaitan sekiranya mereka ingin menjalankan apa-apa operasi serta pemeriksaan di sana. 

“Tetapi, kita perlu pastikan tenaga kerja mencukupi untuk melakukan kerja penanaman serta pengutipan sayuran di Kampung Johan Setia. Ini kerana, kawasan pertanian di Kampung Johan Setia menyumbang 20 hingga 30 peratus sayuran hijau bagi kawasan Lembah Klang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN