PETALING JAYA: Meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memerangi rasuah antara beberapa cabaran utama 2024 selain menyaksikan langkah berani kerajaan melaksana subsidi bersasar.
Kerajaan bertekad mencapai pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya hampir lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan kutipan hasil kerajaan 2024 daripada RM303.2 bilion tahun ini kepada RM307.6 bilion dan pengurangan defisit fiskal kepada 4.3 peratus berbanding 5 peratus tahun ini.
Kerajaan juga perlu menaikkan hasil kutipan cukai selepas hanya 11.8 peratus dicapai berbanding Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus) menerusi langkah reformasi percukaian iaitu kenaikan kadar cukai perkhidmatan, cukai keuntungan modal, cukai barang bernilai tinggi, cukai barang bernilai rendah dan penguatkuasaan e-invois mandatori.
Selain itu, kerajaan perlu menangani RM81 bilion subsidi yang perlu ditanggung melalui langkah subsidi bersasar seperti Pangkalan Data Utama (Padu), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) , pelepasan kawalan harga ayam dan telur, pelarasan tarif elektrik dan penyasaran semula subsidi diesel.
Kerajaan juga perlu memastikan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM393.8 bilion dibelanjakan sewajarnya untuk emolumen (24.3 peratus), subsidi dan bantuan sosial (13.4 peratus), bayaran khidmat hutang (12.6 peratus), ekonomi (11.5 peratus), perkhidmatan dan bekalan (9.7 peratus), bayaran persaraan (8.2 peratus), sosial (7.2 peratus), lain-lain (6.7 peratus), keselamatan (3.2 peratus), pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri (2.2 peratus) dan pentadbiran am (satu peratus).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, cabaran itu tidak hanya terhad kepada soal pertumbuhan ekonomi, peningkatan hasil cukai dan subsidi bersasar.
Menurut belia, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu merealisasikan usahanya dalam bidang peralihan tenaga, transformasi digital, meningkatkan kualiti pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan mata wang dan pengurusan hutang lebih baik.
“Diharap kerajaan akan berusaha untuk mereformasikan sistem monetari kita supaya kita tidak akan terus terkesan dengan faktor luaran global yang menyebabkan kuasa membeli kita semakin kurang dan hutang semakin bertambah.
“Antara reformasi yang boleh dilakukan ialah memperkasakan alternatif pembiayaan yang tidak berasaskan hutang tetapi lebih kepada berasaskan ekuiti dan perkongsian pintar,” katanya ketika dihubungi.
Penganalisis ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan juga perlu menangani masalah kebergantungan terhadap import, meningkatkan pendapatan rakyat dan kos sara hidup.
“Cabarannya adalah menangani kenaikan kos dan memastikan harga tidak meningkat serta mengelakkan kartel tentukan harga pasaran.
“Harga dijangka terus meningkat dan memberi kesan kepada pengguna, jadi pemantauan perlu dilakukan supaya tiada mana-mana pihak berniaga sengaja mengaut keuntungan,” katanya.
Sementara itu, reformasi autonomi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hukuman kepada perasuah yang tidak menyerikkan memerlukan perhatian serius Kerajaan Perpaduan bagi mendepani kes-kes rasuah pada 2024.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, cabaran lain termasuk komitmen menambah baik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum kesampaian serta perkembangan teknologi dan digitalisasi masa kini.
“Isu perundangan melibatkan cabaran terhadap hukuman rasuah yang masih kurang berkesan dan menakutkan pelakunya. Hukuman sebatan perlu diperkenalkan segera dan para hakim perlu tegas dalam menjatuhkan hukuman maksimum.
“Seterusnya, komitmen menambah baik SPRM yang belum kesampaian. Reformasi autonomi SPRM dan Pelan Antirasuah Nasional yang terkini mesti disegerakan demi memberi menyokong usaha pencegahan dan kesan yang maksimum .
“Selain itu, teknologi dan digitalisasi kerana cabaran dalam menangani rasuah yang melibatkan teknologi terkini dan penggunaan platform digital yang semakin kompleks,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Jais berkata, kerajaan perlu mengambil langkah berani bagi menangani cabaran berkaitan rasuah itu tahun depan.
Katanya, ia termasuk menguatkuasakan undang-undang rasuah yang lebih ketat dan memberi hukuman setimpal untuk mengurangkan insiden rasuah.
“Memberikan peruntukan tambahan kepada SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) serta organisasi masyarakat yang komited untuk membolehkan mereka berfungsi dengan lebih efektif.
“Meningkatkan keupayaan teknologi dan kecekapan digital dalam membanteras dan mencegah rasuah dalam konteks semasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan, kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini bukanlah bukti kurangnya keberkesanan langkah-langkah kerajaan dalam menangani isu rasuah.
Katanya, ini kerana masalah tersebut sudah lama berlaku dan pastinya perlukan lebih masa untuk mengatasinya.
“Justeru, amat penting untuk kita menyelidik dan menyelaraskan semula strategi serta langkah-langkah baharu bagi memastikan bahawa semua tindakan yang bakal diambil memberikan impak positif dan memulihkan kepercayaan awam,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Karim berkata, kerajaan perlu terus berani menyiasat individu berpengaruh tanpa mengira pangkat atau darjat untuk membanteras rasuah.
Menurut beliau, ini kerana kebanyakan rasuah berlaku dalam kalangan pemimpin kerajaan dan ahli politik yang ada kuasa, maka sampai masa perlu tindakan yang serius.
“Saya menyokong tangkapan SPRM terhadap bekas Menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, itu satu tindakan positif, tetapi tidak cukup hanya kepada seorang sahaja.
“SPRM dan kerajaan (boleh) jalankan siasatan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas beliau pun setuju ‘Tun’ perlu disiasat, namun bukan untuk salah gunakan kuasa siasatan itu, tetapi jika ada aduan atau kes, maka siasat juga Tun Mahathir sebab beliau berkuasa begitu lama.
“Jadi perlu bermula daripada pemimpin, orang besar, Tun atau Tan Sri. Cuma bukan saja-saja cari salah, mesti melalui proses. Amalan rasuah ini kalau betul-betul mahu dibanteras perlu bermula dengan kepala besar dan tiada siapa boleh lepas,” katanya.
Tambah beliau, walaupun Perdana Menteri dilihat mempunyai kesungguhan membanteras rasuah, namun agensi penguatkuasa pencegahan rasuah perlu diberi ruang menjalankan mereka dengan bebas dan penuh berintegriti dan bukan kerana dendam.
“Kalau kita lihat umpamanya banyak laporan polis dan SPRM selama ini tidak diambil tindakan, jadi saya percaya kerajaan sekarang ini mempunyai keazaman.
“Tetapi kena bersungguh dan jangan hanya kepada musuh politik. Jika ada individu yang dalam kerajaan pun (terlibat rasuah), maka tidak boleh diberi layanan istimewa,” katanya. – UTUSAN










