PUTRAJAYA: Cabaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi membuktikan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinannya dianggap tidak rasional.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana penggal Parlimen yang seharusnya berakhir pada tahun 2027 baru memasuki tahun kedua.
Kata beliau, jika desakan mengadakan PRU awal untuk menguji keabsahan sokongan rakyat, ia seharusnya dibuat selepas separuh penggal Parlimen atas andaian Perdana Menteri sudah hilang sokongan.
“Jika desakan PRU awal itu diadakan selepas separuh penggal Parlimen, maka itu wajar dan dianggap menepati amalan demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian sebuah kerajaan dipilih selepas pilihan raya.
“Kerajaan yang ditubuh selepas pilihan raya, sama ada oleh parti menang pilihan raya atau melalui campuran beberapa parti politik (asalkan menepati ciri-ciri Perlembagaan), adalah sebuah kerajaan yang layak diberi ruang untuk memerintah selama tempoh penggal Parlimen ditetapkan di bawah Perlembagaan,” katanya di sini semalam.
Dr. Mahathir dalam sidang akhbar baru-baru ini mencadangkan sedemikian dengan mendakwa Anwar menjadi Perdana Menteri bukan kerana dipilih dalam pilihan raya sebaliknya secara kebetulan.
Menurut Wan Ahmad, kerajaan itu hanya boleh ditukar jika berlaku suatu Usul Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat seperti termaktub di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, di bawah sistem demokrasi berperwakilan dan hak kuasa majoriti bagi menubuh kerajaan, ia menjadi tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya berlaku adil membenarkan permintaan jika berbangkit suatu Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
“Justeru, selagi keadaan ini tidak berlaku, maka Perdana Menteri berhak untuk terus menerajui kerajaannya sehingga Parlimen dibubar,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pembaziran wang dan tenaga jika PRU awal diadakan semata-mata untuk menguji sokongan rakyat kepada kerajaan memerintah yang hanya masuk tahun kedua.
Jelasnya, mengadakan PRU memerlukan bajet yang besar, sebagaimana kos pelaksanaan PRU15, SPR membelanjakan lebih RM 1 bilion, dan berkemungkinan kos lebih tinggi diperlukan bagi mengadakan PRU awal seperti yang dicadangkan Dr. Mahathir.
“Walhal, wang sebanyak itu boleh diguna untuk perkara-perkara lain yang memberi lebih manfaat kepada rakyat.
“Amat tidak adil jika PRU awal diadakan semata-mata untuk menilai sokongan rakyat kepada Anwar yang masih mempunyai empat tahun lagi untuk membuktikan keupayaan kerajaannya menerajui negara,” katanya.
Beliau berkata, terbukti senario PRU di Malaysia, memperlihatkan undi berpecah kepada pelbagai parti politik yang bertanding.
Maka, katanya, ia terbukti sukar sesebuah parti politik mendapat kemenangan besar menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya.
“Apa yang terhasil hanyalah sebuah kerajaan campuran yang mempunyai majoriti kerusi kecil, kedudukan lemah yang boleh bertukar apabila ahli-ahli Parlimen beralih sokongan di Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN










