Agong, PM hadir istiadat bersanding Putera Mateen

Agong, PM hadir istiadat bersanding Putera Mateen

SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berjalan masuk ke istiadat persandingan Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Dayang Anisha Rosnah di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam. – IHSAN ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri Istiadat Bersanding Pengantin Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan isterinya, Dayang Anisha Rosnah di Ba­lai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, semalam.

Turut berangkat sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis akad nikah Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dengan Anisha Rosnah selamat berlangsung di masjid ber­kubah emas di ibu negara Bandar Seri Begawan itu.

Mateen ialah anak ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah, raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia dan berada di bawah urutan pewarisan. Manakala pengantin perem­puannya merupakan cucu kepada salah seorang penasihat utama bapanya dilaporkan mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan pelanco­ngan bersama.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menitipkan doa semoga perkahwinan Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Da­yang Anisha Rosnah diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Anwar berkata, beliau dan isterinya amat berbesar hati me­nerima jemputan daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengi­ran Anak Saleha ke Istiadat Perkahwinan Diraja putera ba­ginda berdua.

“Saya dan Azizah semalam menghadiri Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja di ­Balai Singgahsana Indera ­Buana, Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

“Dititipkan doa semoga perkahwinan ini diberkati dan dirahmati Allah SWT,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau turut berkesempatan bertemu dengan pimpinan ASEAN yang turut hadir sama ke dalam majlis perkahwinan penuh gemilang itu.

“Saya turut berkesempatan bertemu dengan pimpinan ASEAN lain yang turut hadir ke majlis tersebut antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN