Tapak pelupusan sampah haram Kapar terbesar di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Tapak pelupusan sampah haram Kapar terbesar di Asia Tenggara

Sampah haram
ASMIR Samardzic melihat sendiri keadaan di tapak pelupusan sampah haram dekat Batu 14, Kapar di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tapak pelupusan sampah haram yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar dekat Batu 14, Kapar di sini disifatkan sebagai yang terbesar di Asia Tenggara oleh seorang pemerhati alam sekitar dari Jerman.

Pemerhati tersebut, Asmir Samardzic yang juga merupakan penyelidik kitar semula dan produk guna semula berkata, masalah pelupusan sampah haram bukan sahaja berlaku di sini tetapi turut dialami negara lain khususnya rantau ini.

“Masalah sama berlaku di Thailand dan Indonesia, tetapi tidak pernah sebesar dan seteruk di sini (Batu 14). Saya pernah pergi ke banyak tempat terutama di Asia Tenggara.

“Kalau di Eropah tiada tapak pelupusan sampah haram dikesan kerana penguatkuasaan undang-undang begitu ketat dikenakan kepada individu dan juga perusahaan. Malah jika berlaku situasi itu, pihak terlibat akan terus didenda dan yang mengkomersialkan pula akan dipenjara,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, lebih 300,000 penduduk di berhampiran Batu 14, di sini, dibelenggu derita menghidu asap busuk dari sebuah tapak pelupusan sampah haram di kawasan itu yang dianggap seperti ‘gunung’ sejak 10 tahun lalu.

Masalah pembakaran sampah sisa domestik itu dihadapi penduduk tujuh buah kampung antaranya Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.

Sampah haram
PELBAGAI jenis hampas plastik, kaca dan sebagainya yang merupakan sisa industri dilupuskan secara haram selepas dianggap tidak bernilai kerana tidak boleh dikitar semula, dekat Batu 14, Kapar, di Klang, Selangor. – UTUSAN / SADDAM YUSOFF

Dalam pada itu, jelas Asmir lagi, dia tidak menyangka Malaysia khususnya Lembah Klang yang mempunyai bandar cantik dengan kehadiran pelancong mempunyai masalah berkaitan alam sekitar.

“Kami sepasukan pernah datang ke Kuala Lumpur beberapa kali sebelum ini dan amat suka dengan bandar rayanya. Malah bila berada di Kuala Lumpur pun saya tidak menyedari betapa kritikal isu sampahnya.

“Justeru, kami ada rakan-rakan yang memberitahu kalau hendak tahu bagaimana keadaan sebenarnya (isu sampah), pergi ke Klang dan lihat macam mana sebahagian sisa dilupuskan secara haram.

“Kami pergi ke Klang dan melihat sendiri, ini (Batu 14) sangat teruk. Ini merupakan kali pertama saya tengok. Hampas pelbagai jenis bahan terutama plastik, kaca dan aluminium yang tak bernilai kerana tidak boleh dikitar semula,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya