Mangsa pencemaran Sg. Kim Kim masih hadapi masalah kesihatan

Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim 2019 masih hadapi masalah kesihatan

SUZANA Suarno (duduk) bersama Ahmad Nabil (kanan) dalam sidang akhbar yang diadakan di Bandar Seri Alam, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun insiden pencemaran Sungai Kim Kim telah lima tahun berlalu, namun beberapa individu masih berdepan masalah kesihatan sehingga menjejaskan kehidupan dan masa depan mereka.

Salah seorang mangsa, Irfan Wafi Idham Wazir, 16, memberitahu, keadaan fizikal khususnya melibatkan anggota kakinya masih belum pulih sepenuhnya ekoran insiden yang terjadi ketika dia berusia 12 tahun itu.

Katanya, dia telah disahkan menghidap penyakit Myokimia selain menderita masalah saraf kaki menyebabkan pergerakan kakinya terbatas dan perlu menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Sebenarnya masih rasa sakit lagi, saya tidak sembuh sepenuhnya sejak berusia 12 tahun lalu dan keadaan kaki saya juga masih sama. Namun setelah beberapa tahun saya telah mula menyesuaikan diri dalam keadaan seperti ini, walaupun susah saya tetap hidup.

“Sungguhpun begitu saya berpuas hati apabila mendapat tahu usaha mendapatkan hak dan keadilan buat semua mangsa pencemaran ini masih diteruskan, walaupun memakan masa yang lama tetapi nampak ada usaha yang efektif dibuat.

“Oleh itu saya berharap perbicaraan mahkamah melibatkan kes ini akan berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Sementara itu, Suzana Suarno, 40, yang merupakan ibu kepada seorang lagi kanak-kanak mangsa pencemaran Sungai Kim Kim memberitahu, anak keduanya, Ahmad Nabil Azlan, 12, masih menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) sehingga kini.

Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu menderita masalah pernafasan yang menyebabkannya kurang aktif dan sukar untuk tidur secara berbaring selepas kejadian tersebut.

“Semasa kejadian itu berlaku, anak saya pengsan di sekolah sebelum dibawa ke HSI. Saya sendiri mencarinya selama enam jam sebelum berjaya menemukannya ketika sedang diberi rawatan. Dia ditahan selama tiga hari di wad.

“Sebelum ini dia aktif termasuk bersukan di sekolah, namun selepas kejadian itu dia berdepan masalah pernafasan dan masih menerima rawatan susulan di HSI, dua atau bulan sekali.

“Selain hidungnya kerap alami selsema, dia juga sukar tidur secara berbaring kerana masalah pernafasan menyebabkan dia terpaksa guna dua atau tiga lapisan bantal agar kepalanya lebih tinggi, ada juga dia terpaksa tidur secara duduk, perkara itu tidak normal untuk seorang kanak-kanak,” katanya.

Irfan Wafi dan Ahmad Nabil antara mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang diwakili peguam, Datuk Kamarudin Ahmad dalam tuntunan berjumlah RM30 juta kepada defendan yang terlibat dalam kes berkenaan.

Pada Mac 2019, insiden pencemaran Sungai Kim Kim itu telah menjejaskan kesihatan seramai lebih 2,000 orang awam sehingga menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ekoran pembuangan sisa toksik.

Kejadian itu turut menyaksikan seramai 947 orang awam diberikan dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya