Mangsa pencemaran Sg Kim Kim sedia selesai luar mahkamah

Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim sedia selesai saman luar mahkamah

KAMARUDIN Ahmad (duduk, tengah) bersama sebahagian mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Bandar Seri Alam, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mangsa pencemaran Sungai Kim Kim sedia pertimbang kaedah penyelesaian secara luar mahkamah melibatkan saman berjumlah RM30 juta setelah kes tersebut berlarutan selama lima tahun.

Peguam yang mewakili 42 plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, perbicaraan kes tersebut akan bersambung semula pada 22 Januari depan, setelah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menurut beliau, anak guamnya terdiri daripada orang awam serta murid dan pelajar yang terjejas secara langsung dengan insiden berkenaan.

“Setelah perbincangan dibuat bersama mangsa-mangsa, kita setuju untuk pertimbang langkah penyelesaian luar mahkamah dengan mengambil kira pemotongan jumlah tuntutan.

“Perkara itu bagaimanapun akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak defendan di dalam kes ini. Kita alu-alukan agar kes ini tidak perlu melalui tempoh perbicaraan yang panjang,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Tambah Kamarudin, defendan dalam kes ini melibatkan seramai 12 pihak termasuklah kerajaan negeri, Menteri Besar Johor, pengerusi jawatankuasa kesihatan negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

“Saya juga bercadang untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap semua mangsa insiden ini bagi melihat sama ada mereka mengalami kesan kesihatan jangka masa panjang.

“Perbicaraan kes ini akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Kita yakin dapat memperoleh kemenangan apatah lagi dengan mengambil kira perkembangan terbaharu dimana kilang dan pemandu lori bertanggungjawab telah mengaku bersalah,” ujarnya.

Kamarudin yang mewakili Jawatankuasa Bertindak Mangsa Gas Toksik Sungai Kim Kim dan Keluarga Mangsa Kes Toksik bertindak menyaman kesemua defendan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada 17 Julai 2019.

Bulan lalu, JAS dalam satu kenyataan memaklumkan syarikat terlibat iaitu P. Tech Resources Sdn. Bhd. yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikenakan denda RM40,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM320,000.

Turut dikenakan hukuman adalah pemandu lori, N. Maridass yang didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya