Irfan Wafiy menggeletar hingga kini kesan toksik Sg Kim Kim- Bapa

Irfan Wafiy menggeletar hingga kini kerana kesan toksik Sungai Kim Kim- Bapa

sungai kim kim
KAMARUDIN Ahmad (tengah) bersama keluarga mangsa selepas perbicaraan kes saman sivil RM30 juta yang difailkan Jawatankuasa Bertindak Mangsa dan Keluarga Gas Toksik Sungai Kim Kim terhadap 12 defenden termasuk Kerajaan Negeri Johor di Mahkamah Tinggi di Menara Cyberport, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, masih menderita penyakit myokymia sejak enam tahun lalu.

Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 53, yang merupakan saksi pertama berkata, penyakit yang dihidapi anaknya itu bukan sahaja tiada penawarnya, malah tidak pernah direkodkan di negara ini.

Katanya, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan berada dalam keadaan kejang akibat kesan pencemaran berkenaan.

“Kesihatannya masih belum sembuh. Kaki dia masih menggeletar, tiba masa dia sakit, memang kaki dia akan ‘non stop’ menggeletar dan kerap berada dalam kekejangan.

“Alhamdulillah sekarang dia solat dah tidak perlu pakai kerusi, solat seperti biasa. Namun, penyakit itu ada lagi, belum sembuh dengan rawatan kali terakhir adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika disoal balas peguam, Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim dihadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim di Menara Cyberport, di sini hari ini.

Idham Wazir berkata, anaknya yang berusia 16 tahun itu kini sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru di Seri Alam, di sini dan setelah enam tahun berlalu, anaknya tidak menerima panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan susulan.

“Doktor pakar yang rawat anak maklumkan penyakit ini tak ada ubat dan tiada rekod untuk penyakit ini di Malaysia. Apa yang doktor bagi (ubat) ‘try and error’ sahaja, berdasarkan kes-kes di luar negara, namun ubat berkenaan tidak sesuai dengan anak, apabila makan, dia akan tidur,” katanya.

Perbicaraan kes saman sivil RM30 juta terhadap 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor itu akan disambung pada 2 Jun, 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober depan.

Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif diwakili peguam Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.

Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan, iaitu Kerajaan Negeri Johor, Menteri Besar dan bekas Exco Alam Sekitar Johor.

Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin, Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia, manakala, syarikat P Tech Resources Sdn. Bhd., dua pengarahnya serta pemandu lori, N Maridass diwakili peguam, Phang Soon Mun, Chew Chun Wei dan Yvonne Chai.

Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn Bhd, untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019.

Kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup ekoran pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN