PETALING JAYA: Harga emas diniagakan hampir paras terendah dalam tempoh tiga bulan semalam, menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu ini bagi mendapatkan petunjuk mengenai prospek kadar faedah negara itu.
Harga emas spot susut sehingga 0.42 peratus kepada AS$3,990.90 seauns (RM524.11 segram) dalam sesi dagangan semalam, berbanding AS$4,007.90 seauns (RM526.38 segram) pada sesi dagangan akhir Jumaat lalu.
Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Disember turut merosot 0.2 peratus kepada AS$4,000.80 seauns (RM525.45 segram).
Peniaga emas dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn. Bhd., Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, antara faktor utama perkembangan tersebut adalah kenaikan harga minyak akibat ketegangan di Asia Barat yang meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi dan kadar faedah AS.
Katanya, penyusutan harga logam berharga itu juga didorong oleh aktiviti pengambilan keuntungan selepas kenaikan harga emas yang ketara sebelum ini yang menyumbang kepada tekanan jualan dalam pasaran.
“Saya masih melihat prospek permintaan emas dalam jangka panjang sebagai positif, khususnya sebagai aset penyimpanan nilai.
“Berdasarkan pemerhatian kami dalam industri peruncitan emas, penurunan harga baru-baru ini telah mendorong peningkatan minat pembelian dalam kalangan pengguna dan pelabur kecil.
“Ramai pelanggan melihat pembetulan harga sebagai peluang untuk menambah simpanan emas pada harga yang lebih rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Walaupun bagaimanapun, beliau berkata, harga mungkin terus mengalami turun naik dan permintaan fizikal yang meningkat ketika harga menurun menunjukkan keyakinan pengguna terhadap nilai emas dalam jangka panjang masih kukuh.
“Pada pandangan saya, penurunan harga sememangnya membuka peluang kepada pengguna dan pelabur untuk menambah pegangan emas, khususnya mereka yang mempunyai matlamat simpanan jangka panjang.
“Namun, pembelian secara berperingkat lebih sesuai berbanding membeli dalam jumlah besar pada satu masa kerana harga masih berpotensi mengalami pembetulan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, pergerakan ringgit berbanding dolar AS serta perbezaan harga belian dan jualan semula juga perlu diambil kira oleh pelabur tempatan.
“Secara keseluruhannya, saya melihat pembetulan harga sebagai peluang untuk mengumpul emas secara konsisten, bukannya cuba meramalkan harga terendah pasaran,” jelasnya.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prospek jangka sederhana emas kekal positif, disokong pembelian bank pusat, aliran masuk dana dagangan bursa (ETF) emas serta kebimbangan terhadap kedudukan fiskal AS.
Beliau berkata, pelabur boleh menggunakan strategi pembelian berkala atau Dollar Cost Averaging (DCA), dengan sokongan harga emas di Malaysia dianggarkan pada RM500 hingga RM520 segram.
Bagi prospek harga, ICICI Bank mengunjurkan emas pada AS$4,200 (RM551.73 segram) hingga AS$4,600 seauns (RM604.28 segram) bagi baki 2026, manakala JP Morgan menjangkakan AS$4,500 seauns (RM591.12 segram) pada akhir tahun ini dan AS$5,000 seauns (RM656.78 segram) pada separuh pertama 2027.
“Pelabur disarankan mengehadkan pendedahan emas kepada lima hingga 10 peratus daripada portfolio serta memantau hasil benar bon AS, indeks dolar AS dan aliran dana ETF bagi menilai pergerakan harga.
“Meskipun trend jangka sederhana masih positif, harga emas dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat, dipengaruhi perkembangan harga minyak dan keputusan dasar Fed AS,” jelasnya.
Tambahnya, pelabur juga wajar menunggu perkembangan dasar Fed AS sebelum membuat keputusan pembelian, memandangkan pendirian bank pusat itu terhadap kadar faedah boleh mempengaruhi pergerakan harga emas dalam jangka pendek. – UTUSAN











