PETALING JAYA: Banyak faktor menjadi penghalang kepada pembeli berpotensi untuk melabur dalam pembelian kondominium dan apartmen yang merupakan 60.5 peratus daripada 23,149 unit kediaman yang masih tidak terjual sehingga akhir tahun 2024.
Menurut seorang ejen hartanah, Ammar Rahim, 25, selain harga dan faedah yang dikenakan, faktor lokasi menjadi satu pertimbangan utama untuk pembeli sebelum membeli rumah
“Kebanyakan pembeli tidak mahu membeli rumah yang terletak di kawasan yang tidak strategik dan jauh dari pusat bandar.
“Penjualan unit rumah di kawasan luar bandar juga lebih sukar kerana jauh dari kemudahan seperti sekolah, klinik dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Ammar, penjualan unit kondominium yang sedikit didorong oleh lokasi dan tujuan pembeli untuk jangka masa panjang.
“Kebanyakan pembeli yang membeli unit kondominium ini adalah mereka yang berminat dalam pelaburan jangka masa panjang untuk Airbnb atau rumah sewa.
“Jadi, lokasi yang strategik dan kemudahan yang menarik amat penting untuk mendorong mereka bagi membeli unit kondominium tersebut,” katanya.
Seorang lagi ejen hartanah, Muhammad Aqil Hashim, 22, berpendapat, selain lokasi, penetapan harga unit kediaman untuk sesebuah projek amat penting untuk memastikan pembeli berminat untuk membeli sesebuah rumah itu.
“Contohnya, jika sesebuah hartanah bernilai di bawah RM500,000, projek tersebut akan lebih mudah dijual dan dimiliki oleh pembeli pontensi kerana harga yang masih mampu milik.
“Tetapi untuk hartanah yang memiliki harga atas RM500,000, kuasa membeli akan berkurang sebab kebanyakan orang tidak mampu untuk membeli,” katanya.
Menurut Muhammad Aqil lagi, fasiliti dan kemudahan yang ditawarkan oleh pihak pemaju juga menyumbang kepada minat pembeli untuk membeli rumah di sesebuah kawasan.
“Selain harga dan lokasi, ciri-ciri fasiliti dan kemudahan juga sering menjadi perhatian pembeli sebelum membuat keputusan membeli rumah tersebut.
“Keselamatan dan saiz rumah juga penting untuk menjamin keselesaan pembeli pada masa akan datang. Oleh itu, ciri-ciri keselamatan perlu diberi perhatian khusus untuk menarik minat lebih banyak pembeli untuk membeli,” katanya. – UTUSAN










