JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu mengenai seorang mangsa pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, masih menderita penyakit myokymia sejak enam tahun lalu.
Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A. Wahab, 53, yang merupakan saksi pertama berkata, penyakit yang dihidapi anaknya itu bukan sahaja tiada penawarnya, malah tidak pernah direkodkan di negara ini.
Katanya, keadaan kaki anaknya juga sentiasa menggeletar dan berada dalam keadaan kejang akibat kesan pencemaran berkenaan.
“Kesihatannya masih belum sembuh. Kaki dia masih menggeletar, tiba masa dia sakit, memang kaki dia tidak akan berhenti menggeletar dan kerap berada dalam kekejangan.
“Alhamdulillah sekarang dia solat tidak perlu pakai kerusi lagi, solat seperti biasa. Namun, penyakit itu ada lagi, belum sembuh dengan rawatan kali terakhir adalah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika disoal balas peguam, Walter Pereira pada perbicaraan kes saman sivil pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim di Menara Cyberport, di sini, semalam.
Idham Wazir berkata, anaknya yang berusia 16 tahun itu kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Johor Bahru di Seri Alam, di sini dan setelah enam tahun berlalu, anaknya tidak menerima panggilan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan susulan.
“Doktor pakar yang merawat anak memaklumkan penyakit ini tidak ada ubat dan tiada rekod untuk penyakit ini di Malaysia. Ubat yang doktor bagi ‘try and error’ sahaja berdasarkan kes-kes di luar negara, namun ubat berkenaan tidak sesuai dengan anak, apabila makan, dia akan tidur,” katanya.
Perbicaraan kes saman sivil RM30 juta terhadap 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor itu akan disambung pada 2 Jun, 18 dan 19 Ogos serta 14 dan 15 Oktober depan.
Idham Wazir bersama 41 lagi plaintif diwakili peguam Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira dan Radiah Karim.
Peguam Kanan Persekutuan, Mohamed Azzam Zainal Abidin yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor mewakili defendan, iaitu Kerajaan Negeri Johor, Menteri Besar dan bekas Exco Alam Sekitar Johor.
Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamaruddin, Nurul Farhana Khalid dan Safiyah Omar pula mewakili Pengarah Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Malaysia manakala, syarikat P Tech Resources Sdn. Bhd., dua pengarahnya serta pemandu lori, N Maridass diwakili peguam, Phang Soon Mun, Chew Chun Wei dan Yvonne Chai.
Pada 17 Julai tahun lalu, pihak mangsa memfailkan saman sivil itu berjaya menafikan permohonan defendan, P Tech Resources Sdn. Bhd. untuk mengenepikan saman sivil yang mula difailkan pada 2019.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup ekoran pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim pada 7 Mac 2019. – UTUSAN










