FAMA Terengganu beli duku 326 tan metrik bernilai RM461,000 - Utusan Malaysia

FAMA Terengganu beli duku 326 tan metrik bernilai RM461,000

NUKMAN Hashim (kiri) melawat tapak cadangan pembinaan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu membuat pembelian 326 tan metrik duku bernilai lebih RM461,000 pada musim buah tersebut dari September hingga Oktober lalu.

Pengarahnya, Nukman Hashim berkata, pembelian pada harga RM1.30 hingga RM2 sekilogram duku Terengganu itu bagi membantu menambahkan pendapatan pekebun tempatan serta mengelak lambakan buah tersebut.

Menurutnya, operasi pemasaran FAMA difokuskan kepada pasaran luar terutamanya kawasan Lembah Klang dengan purata 10 hingga 12 tan metrik sepanjang musim duku lalu.

“FAMA melaksanakan intervensi pemasaran secara terus melibatkan 13 orang pengumpul di empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

“Terengganu tiada pusat pengumpulan dan jualan borong khusus serta sistematik bagi pemasaran hasil duku Terengganu. Pihak FAMA laksanakan intervensi melalui belian dengan pengumpul yang jadikan rumah mereka sebagai pusat pengumpulan.

“Keluasan tanaman duku Terengganu di seluruh negeri seluas 831.4 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 3,734.4 tan matrik. Daerah Hulu Terengganu merupakan pengeluar terbesar iaitu 1,872.7 tan matrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek pembinaan pusat pengumpulan hasil pertanian di Kampung Tanjung Putat, dekat sini, hari ini.

Katanya, selain daripada duku Terengganu daerah Hulu Terengganu merupakan antara pengeluar utama hasil pertanian dan buah-buahan bermusim di negeri ini.

Ujarnya lagi, pusat pengumpulan yang dijangka dibina tahun depan itu dapat memberi manfaat kepada lebih 400 orang komuniti setempat di Hulu Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya