Dilanggar ‘mat rempit’: Koperal alami darah beku di kepala - Utusan Malaysia

Dilanggar ‘mat rempit’: Koperal alami darah beku di kepala

Koperal dilanggar
AHMAD Haizaki Salimon cedera akibat dilanggar ‘mat rempit’ ketika bertugas dalam operasi sekatan jalan raya dekat Pusat Bandar Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Anggota polis yang dilanggar ‘mat rempit’ ketika melakukan sekatan jalan raya dalam satu operasi malam semalam disahkan mengalami ketulan darah beku pada bahagian belakang kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, mangsa, Koperal Ahmad Haizaki Salimon kini sedang dirawat di Hospital Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan ketulan darah beku pada bahagian belakang kepala mangsa akibat daripada hentakan yang kuat akibat dilanggar semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, suspek penunggang motosikal terbabit, pula dilaporkan perlu menjalani pembedahan pada bahagian mata selepas dikesan terdapat pendarahan pada bahagian belakang mata.

“Hasil pemeriksaan doktor ke atas suspek menyatakan dia akan menjalani pembedahan mata akibat terdapat kesan pendarahan pada belakang mata akibat daripada kemalangan yang berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, walau bagaimanapun semakan polis mendapat suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan jenayah, namun saringan dilakukan untuk mengenal pasti jika penunggang berusia 21 tahun itu terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau tidak.

Semalam, Ahmad Haizaki dilaporkan nyaris maut apabila dilanggar oleh penunggang motosikal yang cuba mengelak daripada ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya berhampiran sebuah pusat beli belah di sini.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan serta tidak sedarkan diri hampir lima minit selepas dirempuh.

Mohd. Iqbal Ibrahim dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan kejadian berlaku apabila penunggang terbabit berpatah balik dengan melawan arus untuk melarikan diri.

“Melihat kejadian ini anggota trafik cuba menghalang penunggang motosikal tersebut melarikan diri. Disebabkan oleh panik, penunggang terbabit melanggar anggota berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM 15,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya