PONTIAN: Bermula sebagai peraih sayur-sayuran dan dihantar ke Singapura, Hayati Desa, 56, kini mencuba untuk belajar menanam sendiri dengan mempelajari teknik penanaman menerusi laman sosial, YouTube.
Walaupun tanpa pengalaman menanam sayur-sayuran, dia berani untuk mengeluarkan modal besar kira-kira RM30,000 bagi memulakan penanaman tersebut.
Katanya, walaupun kini ramai pekebun sayur menggunakan sistem fertigasi, namun dia memilih kaedah tradisional tetapi turut menggunakan teknologi moden bagi semburan air dan pembajaan 400 pokok timun dan terung yang diusahakannya sejak dua bulan lalu.
“Sebagai peraih kadangkala saya tidak dapat bekalan yang diingini daripada pekebun dan menyebabkan pemborong tidak mendapat sayur-sayuran yang mencukupi untuk jualan mereka.
“Selain mempelajari menerusi YouTube, saya juga ‘berguru’ dengan pekebun sayur yang berjaya seperti di Ayer Baloi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bakar Arang, Pekan Nanas.
Hayati yang dibantu dua pekerja bercadang mempelbagaikan tanaman seperti labu, cili padi, cili merah dan kacang panjang serta menambah lagi kawasan penanaman pada tahun depan.
“Sebelum ini, saya juga pernah menanam 300 pokok pisang berangan di sekeliling rumah sebagai hobi dan menambah pendapatan. Sebagai anak seorang penoreh getah di Kedah suatu ketika dahulu, saya memang berminat bercucuk tanam dan menternak haiwan seperti kambing, lembu, ayam dan itik,” katanya.
Sebagai peraih, dia memasarkan terus timun kepada pembeli di Kulai bagi mendapatkan harga yang lebih tinggi tanpa menerusi orang tengah atau pihak ketiga.
Selain menanam sayur-sayuran, Hayati yang berasal dari Kedah, namun kini menetap di Pontian mengikut suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori sejak 1987 turut menternak 10 ekor kambing, sembilan lembu, 60 ayam kampung kacuk dan 120 itik penelur yang dijual di kedai-kedai runcit di kawasan Pekan Nanas.
“Kami ada dua anak perempuan berusia 28 dan 31 tahun yang sudah berkahwin dan mengikuti suami masing-masing. Jadi dengan tanam sayur-sayuran ini, hilang rasa bosan duduk di rumah kerana ada kerja yang boleh dilakukan,” katanya.-UTUSAN










