WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada parti Republikan berdepan kemungkinan kehilangan sokongan Kongres apabila Parti Demokrat diramal berpeluang merampas semula penguasaan Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal yang berlangsung pada Selasa.
Penilaian terbaharu Fox News Power Rankings menjangkakan Demokrat berpotensi memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan, sekali gus menyukarkan pentadbiran Trump melaksanakan agenda politiknya bagi baki tempoh dua tahun akan datang.
Parti Republikan kini mempertahankan majoriti tipis di Dewan Perwakilan dan Dewan Senat di Kongres tetapi berdepan cabaran susulan trend sejarah apabila parti yang menguasai Washington biasanya kehilangan kerusi dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Persaingan merebut penguasaan Senat pula masih sengit dengan Republikan kini memiliki 53 kerusi berbanding 47 kerusi Demokrat. Menurut unjuran itu, Demokrat dijangka mendahului di 48 kerusi, manakala Republikan 47 kerusi.
Republikan perlu mengekalkan sekurang-kurangnya 50 kerusi untuk terus menguasai Senat kerana Naib Presiden, JD Vance, mempunyai undi pemutus sekiranya berlaku keputusan seri.
Demokrat berpotensi memperoleh sehingga 54 kerusi sekiranya memenangi sebahagian besar kawasan yang menjadi rebutan, manakala Republikan boleh mengekalkan majoriti sehingga 52 kerusi jika mencatat keputusan lebih baik daripada jangkaan.
Sementara itu, di Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 kerusi, Demokrat berpotensi memperoleh sehingga 240 kerusi, manakala Republikan mungkin hanya menguasai 212 kerusi.
Jumlah itu kurang enam kerusi daripada jumlah minimum untuk membentuk majoriti.
Kira-kira 250 juta pengundi dijangka mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Presiden Donald Trump turut berkata sekiranya Parti Republikan kehilangan kawalan terhadap Dewan Perwakilan dan Senat beliau akan menjadi ‘Mr. Veto’ (Individu yang sering menggunakan kuasa veto).
“Jika itu berlaku, saya rasa saya akan menjadi ‘Mr. Veto’. Saya tidak akan membenarkan mereka meluluskan sebarang perkara,” kata Trump kepada kolumnis Miranda Devine dari New York Post dalam wawancara menerusi rancangan ‘Pod Force One’ yang disiarkan pada Isnin.
Selain Kongres, pilihan raya kali ini turut menyaksikan perebutan jawatan gabenor di 36 daripada 50 negeri, selain wilayah Guam, Kepulauan Mariana Utara dan Kepulauan Virgin AS.
Ketika ini, Republikan menguasai 26 jawatan gabenor, manakala Demokrat memegang 24 jawatan itu.
Alaska, Nevada dan Georgia kini diterajui gabenor dari Republikan.
Negeri Florida, Kansas dan Texas pula cenderung memihak kepada Republikan, manakala Arizona, Michigan, Oregon, Iowa serta Ohio menyaksikan persaingan kompetitif yang cenderung memihak kepada Demokrat.
Pengundi di 11 negeri turut akan membuat keputusan terhadap usul yang mewajibkan dokumen pengenalan diri dikemukakan ketika mengundi atau melarang bukan warganegara daripada mengundi, melibatkan Alaska, Arizona, Arkansas, California, Colorado, Kansas, Nevada, Carolina Utara, Ohio, Dakota Selatan dan Virginia Barat.
Beberapa isu lain turut menjadi perhatian termasuk cadangan cukai sekali sahaja sebanyak lima peratus terhadap penduduk California yang memiliki kekayaan melebihi AS$1 bilion (RM4 bilion), dengan sebahagian besar hasil kutipan disalurkan kepada sektor kesihatan.











