Pandelela sedia beri laluan kepada pelapis

Pandelela sedia beri laluan kepada pelapis

PANDELELA RINONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong tidak berhasrat merebut tempat dalam skuad Sukan SEA 2027 sekiranya peluang itu boleh diberikan kepada penerjun muda.

Pandelela yang bakal berusia 34 tahun pada tahun depan berkata, keutamaan perlu diberikan kepada penerjun junior kerana temasya dwitahunan itu merupakan platform terbaik untuk mereka mengutip pengalaman di pentas antarabangsa.

“Kita masih perlu mengutamakan penerjun junior. Sukan SEA merupakan peluang untuk mereka. Seperti sebelum ini, biasanya penerjun junior akan diberi peluang beraksi dan saya hanya akan membantu mereka dari belakang,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perkembangan sama, Pandelela masih mempunyai perancangan untuk meneruskan karier apabila menyasarkan penampilan dalam acara individu dan seirama pada Piala Dunia, sebelum memberi tumpuan kepada kejohanan dunia tahun depan.

Mengulas prestasinya sepanjang tahun ini, beliau mengakui persiapan menghadapi Sukan Asia turut terjejas akibat beberapa faktor, termasuk pemergian jurulatihnya, Mao Lin di pertengahan fasa persiapan.

Katanya, beliau akan terus memberikan perhatian kepada aspek kecergasan dan konsistensi bagi memastikan prestasi dapat dipertingkatkan.

“Ada kalanya, jika sesuatu itu bukan ditakdirkan untuk berlaku, ia tidak akan berlaku. Saya hanya akan terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Pandelela membuktikan dirinya masih mampu menyumbang kejayaan apabila bergandingan dengan Lee Yiat Qing untuk merangkul emas acara 10 meter platform seirama wanita pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia, Ahad lalu.

Gandingan itu mengumpul 279.84 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil untuk mengatasi pasangan Amerika Syarikat, Kayleigh Clark dan Sophia McAfee yang meraih 248.52 mata, manakala pasangan Rusia, Viktoriia Kazantseva dan Anna Konanykhina menarik diri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini