PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Julai 2022 digubal menerusi proses intensif melalui kajian dan libat urus yang komprehensif mengikut keperluan semasa negara Malaysia.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian menggubal RUU itu beliau mulakan sejak berkhidmat sebagai menteri pada Ogos 2021 kerana memikirkan keperluan kestabilan politik negara selepas pertukaran kerajaan pada tahun 2018 yang menyebabkan pertukaran tiga Perdana Menteri dan lebih 30 ahli politik juga telah bertukar parti.
“Berikutan kajian awal saya bermula awal September 2021 hingga Mac 2022, saya telah memberi panduan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggubal draf pertama undang-undang ini. Saya menegaskan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memasukkan langkah yang perlu diambil bagi menangani ahli-ahli parti yang bertukar parti yang ingkar kepada arahan atau pendirian parti mereka dan ingkar arahan Whip Parti mereka di semasa di dalam Parlimen .
“Ingin saya tekankan di sini bahawa proses kajian in termasuk meneliti praktis negara-negara lain seperti India, United Kingdom, Singapura dan New Zealand di dalam menangani isu ahli-ahli parti yang menukar keahlian politik di negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yang Dipertua Dewan Negara itu, draf pertama itu dibuat selepas melalui beberapa kali proses perbincangan dan libat urus bersama bersama pemimpin parti, ahli Parlimen di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, golongan akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai kesatuan masyarakat.
Beliau berkata, penjelasan turut diberikan sebanyak empat kali kepada Jemaah Menteri sepanjang September 2021 hingga Mac 2022, namun draf tersebut masih tidak mendapat persetujuan sebulat suara daripada mereka, khususnya klausa mengenai bertukar parti, ingkar kepada arahan parti dan tidak mengikut arahan Whip Parti di Parlimen.
Akhirnya, katanya, draf pertama itu ditolak oleh Jemaah Menteri pada April 2022.
“Dalam mesyuarat sama, Jemaah Menteri membuat keputusan mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk membuat draf untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan Kerajaan menggubal Akta Parlimen berkenaan kesalahan lompat parti.
“Pada 10 April 2022 dua sesi taklimat dan penjelasan telah dibuat secara berasingan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memberi penerangan mengenai draf RUU untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan namun draf pindaan ini telah mendapat tentangan daripada pihak PH dan BN kerana mereka mendapati ia terlalu luas dan generik serta boleh disalahgunakan oleh pihak Kerajaan,” katanya.
Disebabkan draf kedua juga mendapat tentangan, Wan Junaidi berkata, Perdana Menteri ketika itu memutuskan agar perkara ini diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Jelas beliau, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu menjalankan sesi libat urus bersama semua ahli Parlimen, golongan akademik, NGO dan juga pelbagai kesatuan masyarakat serta memberi penjelasan terperinci kepada sema kepimpinan parti dan Jemaah Menteri mengenai cadangan pindaaan ini.
“Semasa pembentangan di dalam Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022, Gobind Singh Deo dan Khalid Abdul Samad turut menyarankan agar klausa yang telah dibuang daripada draf pertama iaitu klausa yang membenarkan setiap parti untuk menangani sendiri ahli-ahli parti yang ingkar kepada kepimpinan parti, ingkar arahan Whip Parti di Parlimen, dan kesalahan ahli lompat parti dimasukkan ke dalam perlembagaan parti sendiri,” katanya. – UTUSAN











