Menteri Besar Kelantan hadir rai kejayaan anak di UniSZA - Utusan Malaysia

Menteri Besar Kelantan hadir rai kejayaan anak di UniSZA

MOHD. Nassuruddin Daud meraikan kejayaan anak bongsunya, Amanina (dua dari kanan) pada sesi terakhir Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesibukan tugas tidak menghalang Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud untuk menghadiri majlis konvokesyen anak bongsunya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Beliau bersama isteri, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob tiba di Terengganu malam semalam untuk meraikan kejayaan anak bongsu mereka iaitu Amanina yang telah menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Usuluddin di UniSZA.

Menurutnya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai tarikh konvokesyen yang telah ditetapkan UniSZA, beliau telah mengosongkan jadual rasmi sebagai Menteri Besar agar dapat meraikan kejayaan Amanina pada hari istimewanya.

“Saya dah pesan kepada pegawai-pegawai agar kosongkan jadual saya kecuali program atau majlis yang benar-benar penting sekiranya ada melibatkan Tuanku (Sultan Kelantan).

“Ini kerana detik-detik istimewa seperti ini bukannya selalu ada, jadi tak salah kita sebagai ibu bapa untuk luangkan masa bagi menghargai dan menyambut kejayaan mereka dalam bidang pendidikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sesi terakhir majlis konvokesyen UniSZA di sini, hari ini.

Amanina adalah antara 3,608 graduan UniSZA yang telah diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin berkata, beliau adalah seorang ayah yang amat mementingkan pendidikan untuk semua tujuh anaknya.

“Alhamdulillah, empat anak saya telah bergraduasi di luar negara, namun saya tidak berkesempatan untuk menghadirinya ketika itu.

“Bagaimanapun untuk tiga anak saya yang belajar di universiti dalam negara iaitu dua daripadanya ialah di UniSZA, memang saya sedaya upaya akan hadir ke majlis konvokesyen mereka,” katanya.

Tambahnya sebagai seorang ketua keluarga, adalah penting untuk mengutamakan pendidikan anak-anak dan berharap ibu bapa yang lain akan turut mengambil langkah serupa.

“Saya juga berterima kasih terhadap UniSZA terutama kalangan pensyarah dan kakitangan yang telah menjalankan tugas mereka sebaik mungkin dalam melahirkan graduan yang berkualiti demi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya