PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tanpa undang-undang generasi penamat merokok (GEG) boleh menjejaskan kesihatan awam.
Malah, ia boleh menyebabkan kerajaan terlepas menyekat penggunaan produk tembakau dalam kalangan generasi muda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan perlu mengkaji semula versi RUU baharu yang sepatutnya memfokuskan kepada semua masyarakat umum dan bukan sahaja berusia atas 18 tahun.
Berita berkaitan:
“RUU kawalan produk rokok ini bertujuan mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, kencing manis, obesiti dan kanser yang berpunca daripada rokok.
“Kalau RUU hanya fokus kepada bawah 18 tahun, ini bermakna selepas mereka menjadi dewasa, mereka boleh bermula menghisap rokok,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tiada lagi larangan merokok kepada individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 dalam versi baharu RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Ini susulan daripada tindakan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menarik balik RUU generasi penamat merokok (GEG) bagi bacaan kali kedua di Parlimen kelmarin setelah ia dibentangkan buat kali pertama pada 12 Jun lalu.
Dalam versi baharu, Perkara 17 (1) merujuk kepada larangan merokok, mengunyah atau menggunakan produk tembakau atau merokok apa-apa produk pengganti tembakau dikenakan kepada bagi orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Sharifa Ezat menegaskan, sepatutnya untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah diberi bantuan agar mereka tidak merokok.
“Sebagai contoh, Terapi Penggantian Nikotin (NRT) dan produk kurang risiko yang dapat mengurangkan keinginan mereka untuk merokok.
“Bahan-bahan nikotin kurang risiko yang tidak melibatkan pembakaran langsung juga dimasukkan sekali sebagai risiko yang sama seperti tembakau rokok. Sedangkan sudah ada kajian-kajian yang menunjukkan sebaliknya, malah digunakan untuk terapi berhenti merokok di beberapa negara maju seperti Jepun, United Kingdom (UK), New zealand dan Australia,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, RUU tanpa GEG boleh menyebabkan negara terlepas untuk menyekat penggunaan produk tembakau dalam kalangan generasi muda.
“Kerajaan mesti berusaha mengadakan GEG pada masa yang terdekat. Semua pihak mesti bekerjasama menangani wabak merokok, vape dan penggunaan nikotin dalam kalangan generasi muda termasuk pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan yang tegas dan menyeluruh,” katanya. – UTUSAN











