JKKP keluarkan 31,965 surat arahan kepada majikan - Utusan Malaysia

JKKP keluarkan 31,965 surat arahan kepada majikan

MAJAHAR Abd. Rahman (tengah) melancarkan naskah e-Buletin Kesihatan Pekerjaan sempena Seminar Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2023 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 31,965 surat arahan telah dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kepada majikan di seluruh negara sejak Januari sehingga September tahun ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Pekerjaan JKKP Malaysia, Dr. Majahar Abd. Rahman, langkah itu dibuat bagi memastikan peraturan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dipatuhi.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 3,708 notis pembaikian dan 4,788 notis larangan turut dikeluarkan dalam tempoh sama ekoran peningkatan laporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan.

Jelas Majahar, kejadian penyakit dan keracunan pekerjaan memberi impak buruk apabila majikan terpaksa menanggung kos rawatan, ganti rugi dan pampasan kepada keluarga mangsa yang terlibat.

“JKKP memandang berat isu ini kerana kos memastikan keselamatan di tempat kerja lebih rendah berbanding kos ditanggung sekiranya berlaku kes penyakit dan keracunan pekerjaan.

“Sepanjang 2022, JKKP menerima 10,707 laporan kes penyakit dan keracunan di tempat kerja dengan sektor pengilangan, pembuatan, perladangan dan kesihatan paling kerap dilaporkan.

“Tiga kategori penyakit pekerjaan tertinggi direkodkan adalah gangguan pendengaran (5,478 kes), gangguan muskuloskeletal (678 kes) dan penyakit ejen biologi sebanyak 420 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Zon Pantai Timur 2023 bersama 200 pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan,  Majahar berkata, sepanjang sembilan bulan tahun ini, sebanyak 132 majikan telah didakwa di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Ujarnya, proses pendakwaan di mahkamah itu menyaksikan sebanyak RM1.67 juta penalti dan RM1.05 juta kompaun dikenakan kepada majikan yang culas menjaga keselamatan di tempat kerja.

“Majikan perlu mengambil inisiatif mencegah kejadian yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan pekerja serta mengelak daripada terdedah kepada tindakan saman sivil.

“Justeru itu, pihak majikan dan pekerja harus berganding bahu menjayakan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sekaligus dapat melahirkan warga kerja produktif,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya