Majikan guna robot ganti pekerja - Utusan Malaysia

Majikan guna robot ganti pekerja

LONJAKAN kos buruh menyebabkan robot digunakan di kedai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Lambakan kedai kopi, kedai makan ramen dan kedai bunga tanpa kakitangan kini semakin meluas di seluruh Korea Selatan. Situasi itu berlaku apabila pemilik perniagaan kini beralih kepada penggunaan robot dan sistem layan diri bagi mengatasi lonjakan kos buruh.

Model perniagaan itu bergantung sepenuhnya kepada tahap kejujuran pelanggan. Sementara itu, penyedia perkhidmatan pembayaran, Samsung Card mendedahkan bilangan kedai tersebut melonjak empat kali ganda pada tahun 2025 berban­ding tahun 2020.

Premis tanpa pekerja bukannya sesuatu yang asing di peringkat global, seperti kedai runcit tanpa juruwang di Bri­tain dan Amerika Syarikat (AS). Bagaimanapun, konsep ini berkembang lebih meluas di Korea Selatan sehingga merangkumi kedai barangan haiwan peliharaan dan butik pakaian.

Para pemilik premis menyatakan kesukaran mencari kakitangan yang sesuai dan peningkatan kos upah sebagai faktor utama penggunaan robot. 

Kadar jenayah kecil yang terlalu rendah di Korea Selatan selain sikap masyarakatnya yang secara amnya patuh kepada peraturan turtu menyumbang kepada penggunaan robot.

Selain itu, Korea Selatan kini berdepan isu penuaan pendu­duk yang pantas dengan kadar kelahiran antara terendah di dunia, sekali gus mencetuskan krisis kekurangan tenaga kerja. 

Kerajaan menjangka populasi semasa negara itu sebanyak 51.8 juta akan menyusut hampir satu pertiga kepada 36.2 juta menje­lang tahun 2072.

Menurut Kim Dongjin, Ketua Pegawai Eksekutif Lounge X iaitu rangkaian kedai kopinya yang menggunakan lengan robot bernama ‘Baris’ untuk menyediakan minuman, populasi pekerja barista atau pembancuh kopi dalam lingkungan usia awal 20-an kini merosot secara drastik. Malah, usaha untuk menggaji barista yang mahir juga menjadi semakin sukar.

Syarikatnya kini mengendalikan lapan buah kedai kopi 24 jam tanpa kakitangan di seluruh Korea Selatan, dengan sebahagian besarnya terletak di ibu kota, Seoul.

Menerusi model automasi penuh ini, premis mereka hanya memerlukan kunjungan pekerja manusia selama satu jam pada waktu pagi untuk menambah inventori seperti biji kopi dan barangan bakeri serta melakukan kerja-kerja pembersihan.

Meskipun hasil jualan di kedai kopi yang mempunyai pekerja manusia secara amnya masih lebih tinggi, Dongji menjelaskan bahawa penjimatan daripada kos buruh berjaya melonjakkan kadar keuntungan setiap kedai tanpa pekerja kepada lebih 40 peratus. 

Angka ini jauh lebih tinggi berbanding kedai kopi konvensional yang hanya mencatatkan margin keuntungan sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN