Surat kepada Speaker, Wong Chen kunci mulut

Surat kepada Speaker, Wong Chen kunci mulut

WONG CHEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen enggan mengulas lebih lanjut berhubung sepucuk surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sebaliknya Wong Chen mahu semua pihak menunggu kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan beliau pada Isnin depan.

“Speaker tak nak saya cakap apa-apa pun, jadi saya akan keluarkan kenyataan pada 5 petang Isnin ini di Facebook, saya minta rakan media untuk tunggu sahaja.

“Ini sebagai tanda hormat kepada Speaker,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Wong sudah menghantar surat kepada Johari bagi mengosongkan kerusi Parlimen Subang, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukan kerusi berkenaan.

Perkembangan itu dilihat mempunyai kaitan dengan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang didakwa gagal menunaikan janji reformasi.

Sebelum ini, selain Wong, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung turut mendakwa akses mereka kepada sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan disekat.

Utusan Malaysia cuba menghubungi Johari bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu, namun panggilan tidak dijawab dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp juga tidak dibalas.

Kesemua ahli Parlimen PKR yang terlibat sebelum ini turut menghadiri majlis pelancaran dan pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diketuai Rafizi dan Nik Nazmi.

Perkembangan tersebut menyaksikan hubungan antara pemimpin PKR berkenaan dengan kepimpinan parti dilihat semakin tegang, selain kritikan secara terbuka turut dilontarkan terhadap kerajaan dan kepimpinan parti.

17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keputusan untuk melepaskan jawatan kepimpinan dalam PKR serta mengosongkan kerusi masing-masing selepas mendakwa terdapat perbezaan pandangan berhubung hala tuju parti dan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×