Tiada pencalonan dikemukakan jawatan 'Top 5' - Utusan Malaysia

Tiada pencalonan dikemukakan jawatan ‘Top 5’

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan tiada pertandingan untuk jawatan ‘Top 5’ atau lima kedudukan tertinggi parti itu kerana tiada pencalonan dikemukakan.

Beliau berkata, Pas sentiasa terbuka untuk mewujudkan pertandingan jawatan-jawatan utama dalam parti pada setiap muktamar sekiranya ada pencalonan.

“Namun untuk kali ini, tidak ada pencalonan (untuk bertanding lima jawatan utama parti).

“Kita tak boleh nak arah-arahkan dewan-dewan atau kawasan-kawasan untuk membuat pencalonan jawatan, semua ini terpulang kepada mereka.

“Ada syarat-syaratnya (layak bertanding), dari segi berapa bilangan minimum (pencalonan) untuk melayakkan masuk bertanding, jadi (kali ini) tak cukup bilangan minimum jadi tak boleh bertandinglah,” katanya ketika ditemui selepas  Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kritikan dilemparkan terhadap Pas berikutan lima jawatan utama itu tidak dipertandingkan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-69  di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Selangor pada 20 hingga 22 Oktober depan.

Ketika ini, jawatan Presiden Pas kekal milik Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula kekal Timbalan Presiden.

Selain Ahmad Samsuri, dua lagi jawatan Naib Presiden Pas disandang Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Ditanya sama ada perkara itu akan memberi imej yang tidak baik untuk masa depan Pas kerana tiada pemimpin pelapis baharu untuk menerajui parti pula, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu tidak timbul kerana Pas mempunyai ramai pemimpin muda dalam parti.

“Kita tak dapat menutup suara-suara yang ingin memberikan kritikan dan sebagainya (mengenai Pas). Itu terpulang kepada mereka. Malaysia negara demokrasi siapa saja boleh memberikan pandangan dan pendapat mereka.

“Apa yang penting ialah Pas makin mengukuh dan terus berkhidmat terbaik kepada rakyat, negeri dan negara,” katanya.

Tambahnya lagi, pertandingan adalah satu proses demokrasi biasa dalam parti.

“Bukan hanya kepimpinan yang buat keputusan, malah turut dicorakkan oleh ahli dan akar umbi, cawangan dan kawasan melalui cadangan yang mereka lontarkan.

“Kita sangat responsif dengan cadangan-cadangan akar umbi, yang penting pimpinan tak mengarahkan mereka membuat apa-apa (yang mempengaruhi) untuk pemilihan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya