KELMARIN, buat pertama kali bekas Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Tan Sri Adnan Yaakob turun berkempen bagi membantu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.
Kehadirannya menjawab spekulasi yang mendakwa bekas ADUN Pelangai tersebut tidak lagi mendukung perjuangan BN khususnya selepas video dia mengkritik UMNO iaitu ‘UMNO pun dah nak bungkus. Bungkus lepat.’ tular pada Ogos lalu.
Adnan ketika ditemui pemberita di Felda Kemasul kelmarin menyatakan sudah memaklumkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bahawa beliau turun berkempen pada minggu kedua.
“Minggu pertama saya banyak urusan, mulai hari ini sehingga Jumaat saya turun dan
saya telah aturkan tidak kurang 10 atau 11 acara.
“Modus operasi saya mudah, jamuan tengah hari atau jamuan teh. Kita tidak kempen berapi-api, kita tidak bercakap berapi-api. Kita bercakap bersembang-sembang santai,” katatanya di Felda Kemasul.
Simboliknya, PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini sekali lagi menjadi medan menguji pengaruh Adnan yang banyak jasa dan sumbangan setelah 19 tahun menjadi Menteri Besar Pahang serta 36 tahun sebagai wakil rakyat DUN Pelangai.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pengaruh Adnan diterjemahkan dengan kemenangan calon BN, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang menang di kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi.
Kini, tugas berat menanti Amizar yang turut mendapat restu Adnan sebagai calon di PRK Pelangai, khususnya pada minggu akhir kempen kerana beliau perlu membuktikan mempunyai kepemimpinan setaraf bekas Menteri Besar itu, sepertimana diteruskan legasinya Allahyarham Johari.
Pengundi di Pelangai sudah terikat dengan semangat ‘Pelangai untuk Pelangai’ iaitu calon mesti anak tempatan yang berkhidmat dan dikenali di kawasan berkenaan.
Adnan menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 1986, manakala Johari yang juga anak didik bekas Menteri Besar tersebut sudah dikenali sejak 2018 sebelum terpilih sebagai ADUN pada PRU15 lalu.
Kini Amizar bukan sahaja perlu berdepan cabaran hebat Perikatan Nasional (PN) yang sangat mengidamkan kerusi ke-18, malah perlu memenangi hati 16,456 pengundi di kawasan yang mempunyai 10 kampung tradisi, tiga tanah rancangan Felda, tiga estet dan empat kampung baharu Cina itu.
Anak Felda Chemomoi itu harus ‘berkemampuan’ untuk meneruskan kesinambungan kepemimpinan Adnan dan Allahyarham Johari.
Ia memerlukan komitmen yang cukup besar bukan sahaja daripada bekas Menteri Besar paling lama itu yang sudah mula turun berkempen membantu calon BN malah daripada Amizar sendiri. – UTUSAN










