Kerajaan negeri perlu gubal pelan kepelbagaian biologi - PM

Kerajaan negeri perlu gubal pelan kepelbagaian biologi – PM

NIK Nazmi Nik Ahmad melancarkan gimik perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan-kerajaan negeri disaran menggubal pelan kepelbagaian biologi di negeri masing-masing selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggubalan pelan kepelbagaian biologi itu adalah perlu susulan semakan semula ke atas dasar kepelbagaian biologi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia kini menjadi antara negara yang terkehadapan dalam mengkaji semula Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan supaya ia terus relevan dengan keperluan semasa dan setara dengan tuntutan di peringkat antarabangsa.

“Saya dimaklumkan setakat ini Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang berjaya melaksanakan semakan semula ke atas dasar kepelbagaian biologi peringkat kebangsaan.

“Malah, Malaysia juga mengintegrasikan semakan semula dasar itu selari dengan kerangka kepelbagaian biologi peringkat antarabangsa iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework,” katanya.

Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sempena Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 dan Pelancaran DKBK 2022-2030 di sini, hari ini.

Katanya, usaha-usaha untuk meningkatkan pengurusan kepelbagaian biologi sememangnya mencabar kerana terletak di bawah bidang kuasa negeri dan ia juga bidang yang merentasi sektor.

Justeru, Anwar berkata, bagi memperkukuh dan merancakkan agenda pemuliharaan kepelbagaian biologi di negara ini, beberapa inisiatif diambil seperti penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), Majlis Biodiversiti Pahang; Sarawak Biodiversity Centre dan Sabah Biodiversity Centre.

Menurutnya, aspek pemuliharaan kepelbagaian biologi perlu diintegrasikan dalam perancangan pembangunan negara dan proses pembuatan keputusan.

“Kerjasama antara pusat dan negeri juga boleh diperkukuh seperti Dasar Perhutanan Malaysia, Rancangan Fizikal Negara; Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara; dan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine,” katanya.

Katanya, Malaysia amat bertuah kerana dilimpahi dengan kekayaan sumber biologi, malah diiktiraf sebagai salah satu daripada 17 buah negara megadiverse iaitu antara negara yang paling kaya dengan kepelbagaian biologi.

Jelasnya lagi, kepelbagaian biologi negara-negara megadiverse, jika digabungkan akan membentuk hampir 70 peratus spesies yang diketahui di dunia.

Pada masa sama, Anwar berkata, kepelbagaian biologi juga penting dalam menjana ekonomi negara, malah kajian menunjukkan nilai ekonomi bagi perkhidmatan ekosistem di Taman Negara Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja dianggar sebanyak RM1.7 billion setahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya