Mhia Firdaus terkenang arwah bapa ketika babak menyelam - Utusan Malaysia

Mhia Firdaus terkenang arwah bapa ketika babak menyelam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Pelakon Mhia Firdaus tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan bapanya, Allahyarham Pitt Hanif, setiap kali menjalani babak menyelam dalam filem Sayang Sayang.

Mhia berkata, pemergian bapanya akibat lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya beberapa tahun lalu masih meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setiap kali menjalani babak menyelam dan melihat laut berombak, saya sering terfikir bagaimana arwah ayah mempunyai kepercayaan dan kekuatan begitu tinggi untuk menerima ketentuan takdir.

“Arwah masih mempunyai keberanian untuk mendahulukan keselamatan rakannya dan sempat melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan.

“Walaupun saya tidak berada di tempatnya ketika kejadian itu, kekuatan yang ditunjukkan arwah memberikan semangat besar kepada saya sepanjang penggambaran,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Sayang Sayang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mhia yang membawakan watak Mina mengakui kerinduannya terhadap arwah bapa sedikit terubat apabila berpeluang bergandingan dengan pelakon Khir Rahman yang membawa watak bapanya dalam filem berkenaan.

Katanya, suasana penggambaran yang banyak berlatarbelakangkan laut turut membuatkan dirinya berasa lebih dekat dengan kenangan bersama arwah.

“Penggambaran filem ini banyak berlatarbelakangkan laut dan secara peribadi, suasana itu membuatkan jiwa saya berasa lebih dekat dengan arwah ayah,” katanya.

Filem Sayang Sayang mengisahkan perjalanan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, iaitu Ajay, Mina dan San San, dalam usaha mencari identiti, mengejar impian serta menemukan tempat mereka dalam kehidupan.

Selain Mhia, filem berkenaan turut menampilkan Lee Lee-Zen, Sasha Tang, Jo Kukathas, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman, Mia Tan Shu Man, Jonathan Lee dan Tan Li Yang.

Sayang Sayang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini