ROM: Sebanyak tujuh pesawat penumpang di seluruh Eropah, termasuk dua yang berlepas dari United Kingdom (UK), terpaksa diperiksa secara ketat berikutan siri ancaman bom yang diterima serentak.
Dua penerbangan milik syarikat Ryanair, masing-masing berlepas dari Dublin dan Lisbon diperiksa sebaik mendarat di Rom selepas menerima maklumat sulit daripada sumber tidak dikenali.
Pihak berkuasa di Lapangan Terbang Fiumicino mengesahkan kepada media tiada sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan ditemui di dalam kedua-dua pesawat berkenaan.
Pesawat yang berlepas dari Dublin dilaporkan mendapat kawalan ketat dan diiringi oleh jet pejuang Tentera Udara Itali sehingga selamat mendarat di landasan.
Selain Itali, pihak berkuasa keselamatan di Poland, Sepanyol dan Bulgaria turut menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas beberapa pesawat penumpang yang terjejas akibat ancaman serupa.
Walaupun tiada hubung kait rasmi disahkan setakat ini, agensi keselamatan dari pelbagai negara akan bekerjasama rapat bagi menilai kemungkinan insiden berkenaan merupakan serangan terancang untuk mengganggu ruang udara Eropah.
Kerajaan UK dalam pada itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai ancaman palsu yang berunsur jahat bertujuan mencetuskan gangguan serta kebimbangan awam.
Menerusi satu kenyataan rasmi, jurucakap kerajaan UK menegaskan mereka mempunyai sistem keselamatan penerbangan yang amat kukuh bagi menangani sebarang potensi ancaman.
Pakar Keselamatan Penerbangan, Paul Mason memaklumkan kejadian ancaman bom yang melibatkan beberapa syarikat penerbangan secara serentak adalah amat jarang berlaku dan dianggap luar biasa.
“Ancaman ini kelihatan dibuat secara tersusun merentasi pelbagai syarikat penerbangan, sekali gus memberi petanda ia merupakan tindakan sengaja oleh pihak tertentu dan bukannya panggilan palsu secara kebetulan,” katanya.
Jelas beliau, pihak berkuasa dan anak kapal perlu melalui pelbagai protokol ketat bagi mengesahkan kesahihan sesuatu ancaman sebelum keputusan melencongkan penerbangan dibuat demi keselamatan penumpang. -AGENSI











