Misi wajib menang Amizar di Pelangai

Misi wajib menang Amizar di Pelangai

AMIZAR ABU ADAM (tengah) dipeluk penyokong selepas diumumkan sebagai calon BN PRK Pelangai. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PADA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, buat pertama kali dalam sejarah, tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri di Pahang. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing menang 17 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) lapan. Akhirnya kerajaan negeri dibentuk menerusi kerjasama BN-PH.

Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai cukup penting kepada BN supaya rekod dan maruah parti itu tidak tercalar sekali gus meneruskan momentum kemenangan Kerajaan Perpaduan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor, 9 September lalu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, calon BN PRK DUN Pelangai, DATUK AMIZAR ABU ADAM berkongsi hasratnya demi memastikan kerusi Pelangai kekal milik BN pada PRK 7 Oktober ini.

UTUSAN: BN tidak pernah tewas di Pelangai, adakah ia ‘tiket’ untuk BN terus mempertahankannya pada PRK ini?
AMIZAR: BN tidak memandang mudah atas kemenangan sebelum ini dan ia bukan sahaja perlu dipertahan malah dipertingkat lagi majoriti 4,048 undi yang dimenangai Allahyarham Datuk Seri Johari Harun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Insya-Allah saya akan bekerja keras demi memastikan hasrat ini tercapai pada PRK ini.

Berdasarkan momentum ‘gelombang hijau’ PN pada PRN enam negeri, adakah ia akan masuk ke Pelangai?
Saya melihat ‘gelombang hijau’ tidak menular di DUN Pelangai. Tetapi kita tidak memandang mudah dan pastinya bersedia dengan strategi bagi membendung penularan gelombang tersebut daripada menembusi bumi Pelangai ini.

Undi masyarakat Felda berpihak kepada PN pada PRU15, begitu juga dalam PRN di enam negeri, adakah ia ujian besar kerana Pelangai mempunyai tiga tanah rancangan Felda yang membabitkan 50 peratus pengundi?
Setiap pilihan raya adalah pertandingan dan ia memerlukan strategi untuk memenangi hati rakyat. BN tetap dengan kaedah yang membawa elemen positif iaitu kestabilan dan kemakmuran. BN juga mampu untuk menawan hati pengundi di DUN Pelangai termasuk di tiga kawasan tanah rancangan Felda di sini iaitu Felda Kemasul, Kemahal dan Felda Chemomoi.

PN mencalonkan semula calon sama seperti PRU15 lalu. Adakah Datuk mengenalinya?
Sememangnya mengenali beliau dan pada saya, siapa sahaja calon pihak lawan kita sentiasa bersiap sedia untuk bersaing secara sihat kerana ia merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi negara.

Misi dan visi Datuk di Pelangai?
Misi saya jelas untuk memastikan DUN Pelangai meneruskan agenda dan perancangan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. Penambahbaikan akan dilakukan dari semasa ke semasa demi memastikan segala yang dirancang di Pelangai dapat direalisasikan demi rakyat. Tumpuan juga akan diberikan kepada aspek pembangunan, kebajikan dan kehendak golongan anak muda di seluruh kawasan di Pelangai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN