‘PERTENGKARAN yang telah terjadi, menjadi punca berpisah dua hati.’
Saya menutup mata ketika mendengar lirik itu berulang-ulang di hujung fon telinga.
Saya membiarkan Siti Nordiana menyudahkan rintihan perpisahan namun ada kemarahan dan dendam yang memberat dalam naratif lagu terbaharunya, Arah Cinta.
Kenapa ada yang sanggup bertahan dan rela terluka, walau tahu hubungan mereka tidak akan ke mana?
Tanya saya kepada wanita 38 tahun itu di suatu pagi. Penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana itu mengambil jeda, menjawabnya dengan berhati-hati.
“Orang sukar untuk melepaskan diri dalam satu hubungan yang sudah lama mati kerana terlalu sayang.
“Kita fikir, kalau kita tamatkan perhubungan ini sekarang, kita akan menyesal di kemudian hari. Perasaan itu akan membuat kita menjadi bertambah sakit dan tidak mahu keluar dari perhubungan itu,” katanya.
Nana percaya kepada peluang kedua? Tanya saya lagi.
“Kita boleh beri peluang kedua. Iyalah, manusia tidak ada yang sempurna. Dalam masa sama, kita berharap orang itu berubah.
“Namun jika kesalahan itu berlaku berulang kali, lagi dan lagi. Kita kena pertimbangkan. Jika seseorang itu sudah meragut ketenangan hati dan fikiran kita, jangan diteruskan,” kata juara program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu.
Anak jati Felda Sendayan, Seremban itu sudah menempuh badai industri sejak berumur 15 tahun. Ada banyak siri perhubungan yang dibina, musnah, diselamatkan, ditinggalkan dalam tempoh lebih dua dekad ini.
Nana diasuh untuk lekas matang daripada usia. Baginya, hubungan serba toksik tidak hanya dalam ikatan percintaan antara kekasih, tapi turut berlaku dalam keluarga apa lagi persahabatan. Pengkhianatan berlaku di mana-mana.
Bagai sebuah lingkar gelung, kita bertahan dan berjalan dalam kesedihan yang sama. Ingin keluar, tapi tidak berdaya. Mengulang kepenatan membiarkan diri terperangkap dan terluka.
Kita terkeliru dan menyangka jika kita terus bersabar, itulah bukti sebuah cinta. Persoalannya, sampai bila?
“Kalau sudah terlalu toksik, sayangkah namanya? Kadangkala, kita hanya dijadikan sandaran sementara dia belum berjumpa dengan orang yang benar-benar mahu disayanginya. Kita hanya sekadar pelengkap seketika.
“Saya boleh bertoleransi dengan banyak perkara namun tidak lagi jika seseorang itu sudah jadi baran, campak barang contohnya. Jika ia mendera tidak hanya fizikal, malah emosi, itu sudah melanggar sempadan kesabaran saya,” katanya tegas.
MEDIA SOSIAL, POPULARITI DAN MANUSIAWI
PENYANYI Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-34 tidak menyangka platform media sosial TikTok yang mula digunakannya pada 2018 banyak mengubah cara pandangnya membawa diri di hadapan peminat.
Dalam tempoh lima tahun sahaja, Siti Nordiana menjadi antara selebriti Malaysia dengan jumlah pengikut seramai satu juta. Jumlah itu, sekali gus melayakkan pelakon Dia Semanis Honey itu tercalon untuk kategori Celebrity Creator of The Year di Anugerah TikTok Malaysia 2023.
“Platform media sosial seperti TikTok seolah-olah membenarkan saya berkongsi sisi diri saya sebagai Siti Nordiana. Seorang wanita yang selalu videonya bersama anak saya, Mohd. Rayyan Nakhaie.
“Saya tak perlu asyik nak kongsi gambar saya buat persembahan. Di sana, tiada siapa artis dan selebriti. Sesiapa sahaja boleh mendapat jutaan tontonan tanpa mengira pangkat,” jelasnya.
Nana tidak menafikan, ramai yang mencintai perkongsian telatah Rayyan di media sosial. Tidak kurang juga ramai yang berjenaka untuk menjadikan anaknya sebagai menantu.
“Saya berpendapat, sebenarnya ramai orang yang stres dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya suka berkongsi aktiviti saya bersama anak, sekadar santai-santai. Tak sangka ada yang terhibur.
“Rayyan anak yang pemalu. Hakikat itulah yang saya ceritakan dalam video saya. Seronok bila baca komen khususnya daripada kaum wanita yang bergelar ibu turut mengalami pengalaman yang sama. Yang mahu jadikan menantu itu, saya anggap mereka bergurau,” katanya sambil ketawa.
Sebelum mengakhiri perbualan, saya sempat bertanyakan kepada Nana apa hajat terbesar yang belum dicapainya setelah 23 tahun bergelar anak seni.
“Pada 2004, saya pernah menonton konsert Christina Aguilera dan terdetik, semoga suatu hari nanti saya dapat adakan konsert segah ini.
“Saya masih menyimpan hasrat itu sehingga hari ini. Semoga impian saya yang satu ini akan dimakbulkan suatu hari nanti. Doakan ya,” katanya menutup perbualan. – UTUSAN










