UMNO mampu dipulihkan jika Zahid berundur - Shahidan Kassim - Utusan Malaysia

UMNO mampu dipulihkan jika Zahid berundur – Shahidan Kassim

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Rakyat termasuk akar umbi menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin bukan kerana tidak sayang atau mengingati jasa parti keramat tersebut, sebaliknya kerana jelas menolak kepemimpinan tertinggi parti itu diketuai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Ahli Parlimen Arau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berpandangan, pemutihan khususnya di barisan kepemimpinan tertinggi parti itu khususnya presiden perlu dilakukan segera bagi mengelak UMNO terus diaibkan di dalam pilihan raya akan datang.

Shahidan berkata, akar umbi parti itu jelas menolak kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP namun masih tidak diendahkan oleh barisan kepemimpinan parti itu sehingga berlaku penolakan besar-besar dalam PRN ini.

Katanya, Ahmad Zahid khususnya perlu bermuhasabah diri dan terima hakikat prestasi UMNO yang cukup teruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

“UMNO sebenarnya mampu dipulihkan jika Ahmad Zahid tidak ada. Perkara itu sudah jelas tidak perlu lagi apa-apa post mortem atau formula kekalahan teruk UMNO itu.

“Kerana Ahmad Zahid ini, satu parti besar sudah hampir lingkup. Ahmad Zahid perlu berjiwa besar melepaskan jawatan dan memberi ruang kepada kepemimpinan baharu memulihkan kembali UMNO.

“Kekalahan UMNO ini berpunca daripada Zahid bukan salah parti,” kata Shahidan.

Keputusan PRN di enam negeri kelmarin menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah parti itu apabila hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi ditandingi.

UMNO kalah di semua kerusi di Kedah dan Terengganu dengan hanya menang satu kerusi di Kelantan, dua di Selangor, 14 di Negeri Sembilan dan dua di Pulau Pinang.

Tambah Shahidan, sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO sudah kalah teruk dan selepas itu mengambil tindakan membuang pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan.

“Dua pilihan raya telah menunjukkan penolakan jelas terhadap UMNO dan Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab ini dengan melepaskan jawatan. Nak pulih apa lagi apabila dua pilihan raya sudah kalah teruk,” katanya.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN