KUALA KEDAH: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, lelaki China bernama So Loi Fat yang terlibat dalam projek unsur nadir bumi (REE) bersama Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, sudah lama berada di negara ini sebelum beliau menjadi Menteri Besar.
Menurutnya, dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kononnya Loi Fat masuk ke negara ini melalui surat ditulisnya kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2020, tidak betul.
Malah katanya, Loi Fat yang merupakan pemilik syarikat Prospek Suria pernah hadir ke pejabatnya bersama seorang peguam yang merupakan kawan baik kepada Saifuddin.
“Saya tak tahu pun nama penuhnya So Loi Fat sebaliknya hanya mengenali sebagai ‘Mr. So’. Dia tak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris dan guna penterjemah untuk bercakap dengan saya.
“Tak apa, boleh panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanya saya dan saya akan jawab. Kalau kita dedah hari ini, esok Saifuddin ‘kona’ kot lain,” katanya pada program Sembang Santai di Kubang Rotan di sini, hari ini.
Terdahulu, Saifuddin mendedahkan gambar Muhammad Sanusi dan Loi Fat yang didakwnya sebagai bukti mengaitkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dengan kes kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
Muhammad Sanusi menjelaskan gambar tersebut berkemungkinan dirakam ketika sambutan hari raya dan menjadi perkara biasa kepadanya untuk bergambar dengan sesiapa sahaja.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Loi Fat pernah memberitahunya yang dia telah membelanjakan sebanyak RM30 juga untuk melobi projek REE dengan pembayaran beresit bernilai kira-kira RM5 juta.
“Yang tak ada resit, saya tak tahu. Selain itu, Loi Fat turut menunjukkan saya video bagaimana mahu mengekstrak REE menggunakan teknik ‘in situ leaching’.
“Memandangkan dia sudah ada kerjasama yang lama (bersama MBI) dan dah habiskan banyak duit, maka saya kata teruskan sajalah dengan mengikut undang-undang,” katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau pernah menyebut nama ‘Mr So’ dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan menegaskan sekiranya benar Prospek Suria mencuri REE, hanya dua orang yang perlu ditangkap iaitu Loi Fat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.
“Tetapi bukan mereka yang mencuri sebaliknya yang ditangkap berbuat demikian adalah warganegara Malaysia bernama Ho Chung Meng berasal dari Kuala Krai, Kelantan,” katanya. – UTUSAN









