ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tampil dengan bukti baharu mengaitkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Dengan mengemukakan sekeping gambar lelaki bernama So Loi Fat, Saifuddin mendakwa, Muhammad Sanusi mengenali salah seorang daripada lelaki warga China itu yang dibawa masuk ke Malaysia oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk meneroka REE di kawasan itu.
“Yang Sanusi kata dia tak kenal pun. Ini (So Loi Fat) bersama dengan Sanusi. Tak salah bergambar, kita tak kata salah. Yang kita kata adalah kenapa seolah-olah kamu tak tahu menahu (tentang) Soi Lo Fat.
“Menteri Besar tak boleh cuci tangan terhadap setiap keputusan yang dibuat MBI. Sanusi kata tak ada staf yang bernama itu. Saya tunjukkan surat dia memohon pas lawatan ikhtisas untuk dua (orang) ini masuk bekerja di Kedah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PKR Kedah, di sini hari ini.
Minggu lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI Kedah mendakwa tidak mempunyai kuasa eksekutif terhadap MBI untuk mengetahui seluruh perjalanan operasi anak syarikat kerajaan negeri itu.
Sementara itu, Saifuddin turut mempertikai bidang kuasa Menteri Besar berkenaan dalam MBI setelah Muhammad Sanusi menegaskan bahawa ia merupakan satu entiti yang berbeza daripada jawatannya.
“Itu tak bermakna Menteri Besar sebagai individu boleh cuci tangan dalam hal-hal tadbir urus dan kebertanggungjawaban. Atas segala keputusan, kesan dan hasil tindak tanduk boleh diuruskan oleh seorang ketua eksekutif.
“Namanya pun MBI. Sangat lucu dan tidak wajar kalau Menteri Besar kata dia tak terlibat dan tiada tanggungjawab dalam tadbir urus MBI. Dari segi tatakelola dan juga tadbir urus, Sanusi sebagai Menteri Besar dan pengurusan tertinggi kerajaan negeri yang membentuk lembaga pengarah,” katanya.
Tambah beliau, dengan pendedahan terbaharu itu pihaknya berharap Muhammad Sanusi dapat memberikan penjelasan terperinci berkaitan kes kecurian REE itu tanpa mengelak.
“Kalau saya tunjukkan semua hujah pada hari ini. Dia jangan kalih sana, jangan kalih begitu dahulu. Dia kena jawab kerana dia bebas untuk menjawab, mengelak bukan satu pilihan kepada Menteri Besar,” katanya.
Saifuddin turut menjelaskan bahawa beliau akan berterusan membongkar perkara itu untuk pengetahuan umum khususnya rakyat Kedah.
“Saya cuma menyusun dan meletakkan perspektif yang betul kepada rakyat di Kedah, saya kata ini adalah satu insiden kecurian yang serius yang melanggar semua undang-undang yang ada tetapi Menteri Besar memilih untuk mengelak.
“Dengan pendedahan maklumat ini saya harap mereka boleh tahu bagaimana kerugian yang besar kepada rakyat negeri Kedah untuk menikmati hasil bumi ini secara sah secara mengikut undang-undang,” katanya. –UTUSAN










