PADANG TERAP: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempelawa sesiapa sahaja yang berminat dan berkelayakan untuk melombong unsur nadir bumi (REE) agar datang ke negeri ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu boleh memohon kepada kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti perlombongan REE di Kedah.
Bagaimanapun tegasnya, aktiviti melombong mineral tersebut perlu dilakukan mengikut undang-undang dan hasilnya perlu dikembalikan kepada rakyat negeri ini.
“Siapa saja di dunia yang ada kepakaran, kemahiran dan duit nak mohon kawasan REE, boleh mohon dan kita akan luluskan dengan syarat hasil itu dipulangkan kepada rakyat Kedah.
“Sesiapa pun boleh mari, kita buka seluas-luasnya janji buat kerja ikut undang-undang dan betul. Jangan tanah kita rosak, mineral kita hilang (tapi) duit kita tak dapat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Perikatan Nasional (PN) Pedu, malam tadi.
Mengulas kecurian REE yang dikatakan merugikan kerajaan negeri berbilion ringgit, Muhammad Sanusi berkata, tapak lombong di Bukit Enggang, Sik hanya seluas lapan hektar.
Tambah beliau, hanya satu peratus daripada keseluruhan kawasan itu yang dipercayai mengandungi REE dalam kuantiti yang besar.
“Kenapa mereka kata (kerajaan negeri) rugi berbilion? (Tujuannya) nak menggambarkan kita tak pandai memerintah hingga harta hilang berbilion.
“Dalam lawatan saya, kawasan yang dicuri itu 20 ekar (kira-kira 8 hektar), tak sampai satu peratus. Kita ada banyak lagi rizab kawasan ada REE, sebab itu mereka menitis air liur,” katanya.
Tambahnya, individu yang terlibat kecurian REE juga bukan seperti yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail iaitu So Loi Fat yang berasal dari China.
“Orang yang mencuri sudah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan diletakkan di Penjara Alor Setar, mereka korek daripada dia dan tabur (jaja) kepada masyarakat bagi orang pening agar orang benci Sanusi dan PN kerana kelemahan tadbir urus dan tatakelola,” katanya. –UTUSAN










