Skandal pengintipan, kekalahan pilihan raya bayangi lawatan Trump ke Asia

Skandal pengintipan, kekalahan pilihan raya bayangi lawatan Trump ke Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bakal mengadakan lawatan ke Asia minggu ini ketika berdepan tekanan susulan kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal serta dakwaan pengintipan China yang meningkatkan kepentingan pertemuan terbaharunya dengan Presiden China, Xi Jinping.

Lapor Reuters, Trump akan memulakan lawatan di Manila bagi menghadiri pertemuan dengan pemimpin Asia Tenggara dan beberapa pemimpin serantau lain pada Selasa sebelum berlepas ke Shenzhen untuk menghadiri forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Di Shenzhen, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Xi serta perbincangan tiga hala bersama Presiden China itu dan Presiden Russia, Vladimir Putin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan gencatan perdagangan yang rapuh antara AS dan China dilanjutkan sehingga awal tahun depan, selain satu lagi rundingan Trump-Jinping dijadual berlangsung pada Disember sempena sidang G20 di Miami, beberapa penganalisis sebelum ini menjangkakan pertemuan di Shenzhen itu tidak akan membawa banyak risiko atau perubahan besar.

Bagaimanapun, reaksi penolakan terhadap Parti Republikan pimpinan Trump dalam pilihan raya pertengahan penggal bulan ini serta kritikan bahawa pentadbirannya gagal bertindak terhadap maklumat risikan mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang yang mempunyai hubungan rapat dengan Trump, didakwa mengubah jangkaan berkenaan.

Penasihat kanan dasar China di Institut Tony Blair, sebuah badan pemikir berpangkalan di London, Ruby Osman berkata, Trump mungkin lebih bersedia mempertimbangkan langkah yang boleh mencetuskan ketegangan kerana tidak perlu bimbang terhadap reaksi pasaran atau kesan politik pilihan raya.

Washington sudah menunjukkan pendirian sedemikian menjelang pertemuan itu apabila mendesak Beijing memenuhi komitmen yang dipersetujui dalam gencatan perdagangan antara Trump dan Jinping setahun lalu.

Penganalisis China bimbang skandal Nvidia, termasuk dakwaan cip semikonduktor yang tertakluk kepada sekatan telah disalurkan kepada pelanggan di China, akan membuat pendirian AS terhadap negara itu semakin tegas.

Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson minggu lalu berkata, terdapat konsensus yang semakin berkembang dalam Kongres untuk mengenakan sekatan lanjut terhadap akses China kepada cip berteknologi tinggi susulan skandal berkenaan.

Parti Demokrat dijangka turut memberi tekanan hebat berhubung isu itu apabila mengambil alih majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat pada Januari depan.

China pula mendakwa AS mereka-reka naratif pengintipan berkenaan sebagai alasan untuk menyekat kemajuan teknologi negara itu.

Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa Universiti Nanjing, Zhu Feng berkata, pertikaian itu juga boleh mempercepatkan proses pemisahan kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) antara dua kuasa besar dunia berkenaan, meskipun kedua-duanya sedang berusaha bekerjasama bagi mengurangkan risiko teknologi itu.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS yang enggan dikenali berkata, Trump tidak dijangka membangkitkan secara langsung dakwaan pengintipan itu ketika bertemu Jinping, sambil menegaskan isu Nvidia tidak sepatutnya memberi kesan terhadap lawatan berkenaan.

Sebaliknya, Trump mungkin mahu mengelak daripada mencetuskan pertikaian baharu dengan China dan memberi tumpuan kepada usaha membina legasi kepimpinannya, termasuk perjanjian penyahsenjataan nuklear bersama Beijing dan Moscow atau mendapatkan satu lagi peluang bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Trump melihat sidang kemuncak luar biasa bersama Jinping dan Putin itu sebagai peluang untuk menggerakkan usaha mencapai persetujuan mengenai kawalan senjata nuklear.

Bagaimanapun, penganalisis China berkata, cadangan itu sukar diterima Beijing kerana negara itu memiliki jumlah kepala peledak nuklear jauh lebih kecil berbanding AS dan Russia.

Trump juga mungkin mahu mendapatkan sokongan Putin dan Jinping bagi mengatur pertemuan pada masa depan dengan Jong-un, yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin China dan Russia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini