PH-BN lakar sejarah di Pulau Pinang

PH-BN lakar sejarah di Pulau Pinang

DARI kiri: CHOW KON YEOW, REEZAL MERICAN NAINA MERICAN dan LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) melakar sejarah dalam politik Pulau Pinang selepas berjaya membentuk kerajaan negeri menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Setakat pukul 9.30 malam tadi, gabungan itu mendahului de­ngan majoriti besar di 29 kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) berdasarkan keputusan tidak rasmi yang di­peroleh di pusat pengumpulan undi PH-BN di sini.

Jumlah itu melebihi 21 kerusi DUN yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah daripada keseluruhan 40 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dengan kemenangan itu, PH akan meneruskan kelangsu­ngan pentadbiran kerajaan negeri di Pulau Pinang buat penggal keempat berturut-turut selepas pertama kali merampas nege­ri itu pada pilihan raya umum 2008.

Sementara itu, DAP kekal menjadi penyumbang utama kemenangan gabungan PH-BN di Pulau Pinang apabila kesemua calon mereka yang bertanding di 19 kerusi DUN menang de­ngan majoriti besar.

Kejayaan gabungan PH-BN membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut disumbangkan menerusi kemenangan calon-calon PKR antaranya di kerusi DUN Machang Bubuk; Bukit Tambun dan Kebun Bunga.

Setakat pukul 9 malam tadi juga, calon daripada BN yang mendahului dengan majoriti besar ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di kerusi DUN Bertam dengan majoriti 1,300 undi.

Secara keseluruhan, gabu­ngan PH-BN pada PRN kali ini masing-masing meletakkan 19 calon DAP; enam calon BN (UMNO); 13 calon PKR dan dua calon Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, seperti dijangkakan, Perikatan Nasional (PN) turut berjaya mendahului beberapa kerusi majoriti pengundi Melayu antaranya di DUN Permatang Pasir; Sungai Acheh dan Pulau Betong.

Dalam pada itu, meskipun berjaya membentuk kerajaan negeri, prestasi PH merosot berbanding PRU-14 yang mana pakatan politik mereka bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika itu berjaya memenangi 37 kerusi DUN berbanding hanya dua kerusi oleh BN dan satu kerusi Pas.

Secara keseluruhan sehingga pusat pengundian ditutup pukul 6 petang juga, peratusan pe­ngun­di seperti direkodkan SPR di Pulau Pinang adalah kurang 70 peratus daripada keseluruhan 1,234,198 pengundi biasa.

Berikutan kemenangan gabungan PH-BN itu, Chow Kon Yeow yang mempertahankan DUN Pangkalan Kota dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara, di sini pagi ini.

Ia akan disusuli dengan pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dijangka diumumkan selewat-lewatnya Rabu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×