KUALA TERENGGANU: Kebanyakan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini terpaksa ‘mengikat perut’ kerana pendapatan mereka tidak cukup menampung perbelanjaan keluarga pada setiap bulan.
Malah terdapat dalam kalangan guru KAFA terbabit melakukan pekerjaan sampingan lain untuk menyara keluarga.
Seorang guru KAFA yang hanya mahu dikenali sebagai Umi, 31, berkata, pada masa ini, tenaga pengajar KAFA di negeri ini sekadar dibayar elaun antara RM700 sehingga RM1,000 sebulan sahaja.
Menurutnya, pendapatan tersebut tidak relevan lagi kerana kos sara hidup semakin meningkat dan membebankan.
Kataya, kebajikan guru KAFA seolah-olah tidak dipandang serius oleh kerajaan dan diharapkan kepemimpinan Kerajaan Madani mengambil berat terhadap isu gaji golongan tersebut.
“Dengan jumlah bayaran elaun sebanyak itu, saya perlu mengikat perut malah terpaksa membantu emak di kedai makan pada sebelah malam bagi mencari duit tambahan.
“Saya berharap nasib guru KAFA dibela dengan kerajaan menukar status elaun sedia ada kepada gaji tetap dengan kadar lebih tinggi dan lebih relevan sekurang-kurangnya RM1,500.
“Jika tidak, dibimbangi boleh menjejaskan kualiti pengajaran di dalam kelas kerana kebajikan kami kurang mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kerajaan akan melakukan kajian dan pertimbangan tentang pemberian elaun kepada guru KAFA kepada bentuk gaji tetap dalam Belanjawan 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia antara perkara perlu diperhalusi bagi memastikan kebajikan guru-guru KAFA di negara ini terbela.
Seorang lagi guru, Hidayah, 34, berkata, dia terpaksa membuat kerja sambilan sebagai peniaga makanan dalam talian bagi menampung perbelanjaan yang kian meningkat.
Menurutnya, kerajaan wajar memandang serius isu kebajikan guru KAFA yang turut dihimpit dengan kadar elaun lebih rendah di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) negara.
Hidayah berkata, jumlah elaun semasa yang diterima menyukarkan pelbagai urusan mereka antaranya permohonan pinjaman kewangan, pinjaman perumahan dan banyak lagi.
“Saya harap kerajaan sekurang-kurangnya menaikkan elaun kami atau menukar status kepada gaji tetap bagi memastikan kebajikan guru KAFA terpelihara.
“Buat masa ini, saya terpaksa berniaga sambilan menjual produk makanan melalui dalam talian kerana elaun RM900 sebagai guru KAFA tidak cukup untuk walaupun di bandar seperti Kuala Terengganu,” katanya.
Di Kota Tinggi, Johor, seorang guru KAFA juga terpaksa melakukan dua kerja untuk menampung kehidupan antara cabaran bagi guru Kafa ekoran elaunan bulanan diperoleh tidak mencukupi.
Guru tersebut yang mahu dikenali sebagai Siddiq, 35, berkata, guru KAFA di Johor menerima RM1,615 sebulan, setelah tambahan insentif sebanyak RM100 yang diumumkan Perdana Menteri.
“Bagi guru KAFA di Johor elaun kami sebelum ini hanya RM1,515. RM1,000 dibayar Jakim, RM500 Kerajaan Negeri Johor. Waktu mengajar pula empat jam setengah tidak seperti negeri lain ada yang tiga jam sahaja.
“Kami ada caruman KWSP dan Perkeso. Jumlah bersih tolak caruman ini, maka elaun diterima kira-kira RM1,350.
“Semestinya bayaran ini tidak memadai dengan keadaan ekonomi sekarang. Jangan cakap guru KAFA rata-rata ramai rakyat Malaysia buat kerja dua dalam satu bahkan tiga dalam satu pada zaman ini untuk tampung kos hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, elaun diterima di bawah garis kemiskinan, ditambah pula kos sara hidup kini yang semakin meningkat.
Menurutnya, untuk menampung kos kehidupan, sewa rumah, kenderaan, makan minum keluarga sudah tentu tidak mencukupi tanpa ada bantuan daripada pasangan hidup. – UTUSAN











