Murid SK Jejawi berpakaian ala pahlawan, srikandi meriahkan bulan Kebangsaan - Utusan Malaysia

Murid SK Jejawi berpakaian ala pahlawan, srikandi meriahkan bulan Kebangsaan

MURID-murid dan guru Sekolah Kebangsaan Jejawi, Kangar, Perlis merakamkan gambar bersama sebelum pelepasan berbasikal dengan berpakaian ala pahlawan dan srikandi. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelbagai gaya dan telatah murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi terdiri pelbagai kaum yang memperagakan pakaian bertemakan pahlawan dan srikandi mewarnai sambutan bulan Kebangsaan peringkat sekolah itu di sini, semalam.

Sambutan tersebut berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik disediakan buat murid-murid sekolah berkenaan dalam menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Guru Besar SK Jejawi, Hazimi Hussain berkata, selain berpakaian ala pahlawan dan srikandi, seramai 40 murid sekolah itu juga turut berbasikal menuju ke Sekolah Rendah Islam Al Furqan, di sini, dengan jarak sejauh kira-kira 500 meter.

“Murid-murid ini berbasikal dengan memperagakan pakaian tradisional ke sekolah berkenaan bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini.

“Selain itu, sekolah kami juga akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sekolah Rendah Islam Al Furqan berkaitan bidang pendidikan sewaktu program kayuhan tersebut,” katanya.

Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Profesor Madya Dr Abdul Jalil Ramli.

Mengulas lanjut, Hazimi berkata, antara pengisian yang turut diselitkan dalam program sambutan sekolah berkenaan adalah seperti nyanyian lagu patriotik, persembahan silat, gimik pelancaran dan pelbagai lagi.

Sepanjang bulan ini, Hazimi berkata, pihak sekolah menerusi panitia turut menganjurkan kuiz dan beberapa aktiviti lain yang berkaitan kemerdekaan dalam memberi pendedahan kepada seramai 685 murid sekolah berkenaan.

“Untuk program ini, kami telah melakukan persediaan sejak dua minggu lalu dalam memberi penghayatan kemerdekan buat murid-murid,” katanya.

Tambahnya, pelbagai pihak termasuk guru-guru, ibu bapa khususnya PIBG turut banyak membantu dalam menjayakan majlis sambutan kemerdekaan itu.

“Pada tahun ini, sambutan meriah sangat dengan persiapan anak-anak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam menjayakan sambutan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya