Kerajaan negeri memasuki 'gear tiga' bangunkan Terengganu - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri memasuki ‘gear tiga’ bangunkan Terengganu

AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) menerima watikah pelantikan Menteri Besar Terengganu daripada Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu akan melipatgandakan kerja untuk meningkat pembangunan negeri pada penggal ini.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil untuk meneruskan lagi kerja dengan lebih pantas berbanding dilakukan pada penggal lalu.

Menurutnya, semua Exco Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan-kakitangan kerajaan serta agensi supaya memenuhi aspirasi kerajaan negeri.

“Exco-exco (Terengganu) boleh terus bekerja selepas itu. Kami lakukan dengan pantas kerana jika penggal pertama, kita bergerak dengan ‘gear satu’, kali ini terus ‘gear tiga’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan dalam merangka pelan yang lebih komprehensif untuk menarik pelabur di negeri Terengganu.

“Insya-Allah selepas ini, kita ada perkara yang lebih agresif akan dilaksanakan, jadi bila saya kata, saya ingin bergerak dengan lebih laju, berbanding dengan penggal yang lalu, tentulah dia akan memberi kesan kepada cara kita bekerja.

“Semua nak lebih, akan lebih pantas dan juga kita perlu merangka pelan yang lebih komprehensif untuk menarik pelabur datang ke negeri Terengganu terutamanya dalam konteks kerajaan negeri haruslah menyediakan diri dengan suasana yang lebih mencabar dalam ekonomi yang ada sekarang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau akan mengumumkan senarai penuh pofolio seramai 10 Exco Terengganu yang baharu dilantik, esok.

Beliau memberitahu, pengumuman tersebut akan dibuat pada mesyuarat pertama Mesyuarat Exco Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada pukul 10 pagi.

Menurutnya, beliau sedeng meneliti portfolio yang bersesuian dengan 10 Exco Terengganu itu.

“Ahli Majlis Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah hari ini akan dimaklumkan portfolia dan bidang tugas masing-masing pada mesyuarat esok.

“Bagaimanapun, senarai portfolio itu akan dipersembahan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terlebih dahulu sebelum diumumkan,” katanya.

Barisan ADUN yang dikekalkan menjadi Exco Terengganu ialah Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Hanafiah Mat (Chukai), Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Azman Ibrahim (Jabi); Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera) dan Ariffin Deraman (Alor Limbat).

Sementara itu, empat Exco lantikan baharu iaitu Razali Idris (Kijal), Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh) dan Maliaman Kassim (Ajil). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya