Kepemimpinan Ahmad Samsuri diuji hari ini

Kepemimpinan Ahmad Samsuri diuji hari ini

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bakal diuji menerusi mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan diadakan hari ini.

Ujian utama buat Menteri Besar Terengganu itu adalah mengenai keanggotaan dalam PN iaitu bagi memastikan kesemua parti komponen kekal berada dalam pakatan gabungan berkenaan khususnya untuk menghadapi siri pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sama ada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) masih duduk di bawah bumbung yang sama semuanya akan bergantung kepada Ahmad Samsuri.

Beliau perlu bertindak neutral kepada semua parti dan tidak boleh dilihat memihak dalam membuat sebarang keputusan.

Pada masa yang sama, Ahmad Samsuri juga perlu memainkan peranan sebagai pendamai sekiranya mahu melihat Bersatu menjalin semula persefahaman dengan kumpulan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini memimpin Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Selain itu, beliau juga perlu mengambil tindakan lebih bijak supaya Pas boleh bekerjasama dengan Bersatu meskipun kedua-dua parti itu sudah ‘bercerai’.

Segala tindakan ini perlu jika benar apa yang mereka ingin perjuangkan untuk Melayu, dengan harapan undi penyokong mereka tidak boleh berpecah.

Namun jika mempunyai niat untuk mencari rakan kerjasama baharu, segala percaturan tersebut tidak akan dapat dilakukan malah boleh jadi segala rancangan itu sengaja digagalkan supaya ada parti yang berputus asa, sekali gus mengambil keputusan untuk keluar daripada PN.

Ini kerana, Perlembagaan PN melalui Fasal 7A memperuntukkan bahawa setiap keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara konsensus.

Ini bermakna tiada mana-mana parti boleh disingkirkan daripada gabungan itu secara unilateral kerana ia memerlukan persetujuan semua presiden parti yang menganggotai PN.

Hakikat bahawa keputusan perlu dibuat secara konsensus menjadikan sebarang usaha untuk menyingkirkan mana-mana parti daripada PN sukar dilaksanakan, melainkan parti berkenaan sendiri mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan itu secara sukarela.

Melihat kepada desas-desus Pas telah mengadakan siri perbincangan membabitkan pemimpin UMNO, Ahmad Samsuri dilihat sukar untuk mengekalkan kerjasama dalam PN.

Malah, situasi itu turut menimbulkan persoalan sama ada keutamaan Pas ketika ini lebih tertumpu kepada strategi menghadapi pilihan raya akan datang berbanding usaha mempertahankan kerjasama sedia ada dalam PN.

Mungkin bagi Pas, memperoleh jumlah kerusi yang besar tetapi masih gagal membentuk kerajaan menuntut penilaian semula terhadap strategi politiknya menjelang pilihan raya akan datang.

Keadaan itu boleh mendorong Pas menilai semula pilihan strategiknya, termasuk kemungkinan memperluaskan ruang kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang, termasuk bersama bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Berbanding bekerjasama de­ngan Bersatu yang berlaku penyusutan Pas mungkin tidak nampak hala tuju yang jelas bersama parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Jadi, jika ditanya sama ada Bersatu dan Pas masih mahu kekal dalam PN, jawapannya mungkin ya. Namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada kedua-dua parti itu masih mempunyai matlamat politik yang sama.

Jika perbincangan mengenai penggunaan logo PN menemui jalan buntu, adakah mereka sanggup bertanding menggunakan logo sendiri, atau adakah itu petanda bahawa keretakan yang selama ini cuba disembunyikan akhirnya tidak lagi dapat dipertahankan? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×