KANGAR: Masa depan keterjaminan makanan negara khususnya membabitkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat berisiko terjejas apabila keluasan kawasan tanah bendang menyusut sama ada bagi tujuan pembangunan atau lain-lain.
Di Perlis, kawasan tanaman padi menyusut sebanyak 2,385 hektar dalam tempoh lima tahun ini apabila ada pesawah beralih kepada tanaman lain, menebus guna tanah untuk pembinaan rumah persendirian atau inap desa selain bagi tujuan pembangunan.
Jumlah keluasan tanaman padi di Perlis ketika ini ialah 29,200.72 hektar berbanding 31,586 hektar lima tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pembangunan tersebut meliputi perumahan, industri, jalan raya, kemudahan infrastruktur selain pemutihan kawasan tanaman padi sepenuh masa.
Katanya, pengurangan jumlah keluasan kawasan tanaman padi yang telah dibangunkan untuk tujuan pembangunan dan sebagainya itu direkodkan sejak 2018.
“Terdapat juga pesawah beralih kepada tanaman lain iaitu direkodkan sebanyak 96 pesawah membabitkan keluasan 58 hektar,” katanya.
Pada masa ini, Malaysia bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah 2.4 juta tan metrik setahun. Ini dengan anggaran seorang penduduk menggunakan 79 kilogram makanan ruji berkenaan dalam tempoh itu.
Mengikut data 2021, negara hanya menghasilkan 1.7 juta tan metrik beras setahun.
Mengikut rekod pada 2022 pula, Malaysia terpaksa mengimport 1.11 juta tan metrik beras dari Vietnam, 37.2 peratus; Pakistan (36.99 peratus); Thailand (12.9 peratus) dan India 8.6 peratus atau sebanyak 95,263 tan metrik.
Seorang pesawah dari Balik Bukit, Chuping, Mohd. Nazri Subuh, 48, berkata, di kawasan berkenaan dan sekitarnya, sebanyak 10 hektar kawasan tanah sawah bakal susut untuk tujuan pembinaan jalan dan pembangunan lain.
Katanya, melihat kepada perkembangan hasil padi yang tidak menentu khususnya di Perlis dengan rata-rata pesawah hanya menghasilkan empat tan metrik per hektar adalah lebih baik sebarang pembangunan dilaksanakan bukan di tanah bendang.
Katanya, jika hasil padi di seluruh negara seperti di Sekinchan iaitu 10 sehingga 11 tan metrik per hektar berkemungkinan tiada masalah untuk keterjaminan makanan negara.
“Di Perlis sahaja, musim ini khususnya hasil tanaman di luar Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) merosot sehingga 30 peratus atas pelbagai faktor seperti cuaca, penyakit dan masalah pengairan.
“Sejak kebelakangan ini juga, kawasan bendang makin berkurangan.
“Kalau boleh, elakkan pembangunan dilaksanakan di tanah bendang kerana ia bakal mengundang risiko kepada keterjaminan makanan negara pada masa depan memandangkan hampir keseluruhan rakyat makan nasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban turut bimbang jika sawah terus digunakan untuk tujuan pembangunan.
Katanya, jika keadaan berterusan boleh menyebabkan kawasan tanaman padi berkurangan di seluruh negara sekali gus menjejaskan pengeluaran beras selain negara akan terus bergantung dengan mengimport makanan ruji tersebut.
“Kalau boleh kawasan-kawasan sawah ini jangan dikacau, untuk pembangunan guna kawasan lain,” katanya.

Di Kedah, penyusutan ketara kawasan sawah padi berpunca daripada pelbagai faktor termasuk saiz tanah yang semakin mengecil ekoran urusan pembahagian harta pusaka daripada generasi terdahulu.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, kerjaya sebagai penanam padi berdepan risiko tinggi ketika ini walaupun kerajaan menjanjikan pelbagai bantuan dan insentif berkaitan bagi meningkatkan sara diri.
Katanya, bukan semua petani yang menjual tanah bendang untuk kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan tidak sensitif dengan keterjaminan makanan negara sebaliknya mereka berada dalam keadaan tersepit.
“Sebagai contoh seorang petani ada 10 hektar bendang, selepas dia meninggal dunia urusan faraid atau pembahagian harta pusaka memerlukan tanah itu dibahagikan kepada enam orang anaknya.
“Apabila tanah seluas 10 hektar dibahagikan kepada enam bahagian, maka tidak sampai dua hektar setiap waris itu dapat. Lebih malang keseluruhan tanah itu bukan dalam satu kawasan sama sebaliknya terpisah dengan bendang orang lain.
“Jadi sudah tentu mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk tanam padi lagi kerana untuk sekadar cukup-cukup makan pun seorang petani memerlukan dua hektar ke atas. Oleh itu, ramai jual bendang mereka bagi kegunaan lain atau bina rumah sewa murah untuk dapat pendapatan setiap bulan,” katanya.
Di Terengganu, negeri itu kehilangan lebih 10,000 hektar sawah padi yang ditukar syarat bagi tempoh 2002 hingga 2017.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim dengan ketika ini cuma tinggal tanah seluas 12,000 hektar untuk tanaman padi di seluruh negeri.
Untuk itu tegasnya, kerajaan negeri memperketat kelulusan permohonan tukar syarat tanah sawah bagi mengekalkan kawasan tanaman padi sejak 2018.
Menurut beliau, ia bertujuan meningkatkan hasil padi selain beberapa strategi dan inisiatif lain yang dilakukan.
“Alhamdulillah, setelah kita mengetatkan kelulusan permohonan tukar syarat tanah sawah padi tersebut selain beberapa inisiatif lain, kita dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Azman berkata, hasil pengeluaran padi di negeri ini pula mencatat purata 5.2 tan metrik sehektar dan dapat menampung keperluan hampir 60 peratus kadar saraan diri (SSR) penduduk.

Di Perak pula, kos penanaman padi terutama harga racun dan baja yang meningkat menyebabkan semakin banyak pesawah di Sungai Manik dekat Pasir Salak menukar tanah mereka kepada tanaman kelapa sawit.
Pesawah berkata, hasil padi ‘tidak balik modal’ walaupun ada subsidi ditawarkan kerajaan berbanding tanaman lain terutama kelapa sawit.
Kata mereka, malah menanam pisang lebih menguntungkan daripada menanam padi.
Seorang pesawah yang enggan namanya disiarkan berkata, dia memiliki 23 ekar tanah sawah pusaka daripada orang tuanya yang dikongsi bersama adik-beradik namun sejak 10 tahun lalu namun kini sudah ditanam kelapa sawit.
Menurutnya, walaupun pada awalnya dia ragu-ragu terhadap keputusannya itu, namun kini terbukti keputusannya itu berbaloi apabila menikmati hasil daripada kelapa sawit yang diusahakannya.
“Saya menukar tanah ini daripada padi kepada kelapa sawit kerana tidak tahan dengan kos untuk menanam, membaja dan meracun yang naik setiap musim, itu belum lagi jika padi diserang penyakit atau serangga perosak, yang menyebabkan padi tak menjadi.
“Memang ada subsidi padi, tapi jumlah yang diperoleh masih tidak mencukupi jika nak dibandingkan dengan modal, tenaga dan usaha yang digunakan untuk tanaman padi,” katanya kepada.
Menurutnya, selepas menanam kelapa sawit di atas tanah bekas sawah yang diusahakannya, dia menikmati hasil yang lebih memuaskan.
Katanya, memang berlaku naik dan turun harga kelapa sawit namun sekurang-kurangnya hasilnya boleh dijual secara berterusan.
“Dengan tanaman kelapa sawit, paling kurang dua kali sebulan saya boleh menjual hasilnya, berbanding padi kena tunggu masak sepenuhnya,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali berkata, dia baru sahaja menukar penggunaan tanah untuk padi kepada tanaman pisang sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, dia mengubah tanaman kepada pisang selepas melihat rakan-rakannya yang lain menikmati hasil yang baik daripada tanaman pisang berbanding padi. – UTUSAN










