Dapatkan maklumat jelas mengenai hadis 40 Imam Nawawi - Utusan Malaysia

Dapatkan maklumat jelas mengenai hadis 40 Imam Nawawi

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pihak-pihak yang menentang cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkenal pelaksanaan modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi perlu mendapat maklumat yang jelas terlebih dahulu tentang kandungan hadis-hadis di dalam koleksi tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, ini kerana tujuan KPM memperkenalkan modul itu adalah untuk memupuk semangat ihsan (kebajikan) dan kasih sayang sesama manusia tanpa mengira latar belakang keturunan, agama dan budaya.

”Pihak-pihak yang membantah cadangan tersebut perlulah memberi perhatian kepada penjelasan yang diberikan oleh KPM dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengenai modul tersebut.

”Ini kerana modul berkenaan hanya disasarkan kepada para guru dan pelajar yang beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SABK) sahaja,” katanya di sini hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, KPM melancarkan modul penghayatan hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain untuk memupuk semangat kasih sayang, selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Walaupun telah dijelaskan pelaksanaan modul terbabit hanya kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja, ia telah menjadi polemik terutama dalam kalangan bukan Islam sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menurut Wan Salim, tujuan memperkenalkan modul itu juga diharap boleh mempupuk kefahaman yang betul tentang agama Islam sebagai agama rahmat dan menganjurkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain biarpun berbeza pegangan agama dan kebudayaan.

”Rakyat Malaysia bukan beragama Islam hendaklah faham pandangan ekstrem dan yang memusuhi orang bukan Islam adalah berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap ajaran-ajaran Islam itu sendiri.

”Kumpulan-kumpulan seperti Da’esh yang memperjuangkan penubuhan Negara Islam di Iraq dan Syira- Lubnan yang dengan sewenang-wenang membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka, adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, dengan memperkenalkan modul Hadis 40 karya Imam Nawawi itu diharap mampu melahirkan generasi umat Islam yang lebih terbuka kepada kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan warga Malaysia.

Selain itu, katanya, tindakan memprotes cadangan KPM itu tanpa usul periksa adalah tidak wajar sama sekali apatah lagi jika bantahan itu didorong oleh niat meraih kepentingan politik murahan dengan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya