KUANTAN: Susun atur dan kedudukan institusi masjid di Pahang sudah mengambil kira kewujudannya di dalam pusat kemasyarakatan, sekali gus menjadikannya lebih sesuai dan praktikal untuk diimarahkan oleh umat Islam setempat berbanding cadangan mewujudkan surau Jumaat di pusat membeli-belah.
Langkah itu menyaksikan beberapa masjid sedia ada dan yang bakal beroperasi sudah diletakkan di lokasi strategik berhampiran tumpuan awam, antaranya Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di bandar Kuantan, Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall, Masjid Al-Shafie di Kota SAS serta Masjid Bandaraya yang dijadualkan dibuka tidak lama lagi.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perkara berkenaan demi memartabatkan kesucian institusi masjid dan surau di negeri ini.
“Baginda bertitah Muip adalah pihak berkuasa yang mewakili baginda sebagai penguasa berkaitan masjid atau surau/musolla yang terletak di bawah senarai negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Sultan Pahang memperkenan penegasan Jabatan Mufti Negeri Pahang bahawa syarat sah solat Jumaat mengikut Mazhab Syafi’i merangkumi enam perkara utama iaitu didirikan solat Jumaat dalam waktu Zohor secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 jemaah (iaitu lelaki mukallaf dan bertaraf mastautin), didahului dua khutbah dan didirikan di satu tempat atau bangunan yang dikhususkan.
“Ia juga tidak boleh ada pertembungan solat Jumaat di kawasan berhampiran, kecuali jika ada kesukaran yang pasti dan akan diputuskan oleh Mufti Negeri Pahang dan disembahkan untuk perkenan Sultan Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN










