PDRM rampas 295 pucuk senjata api buatan sendiri

295 senjata api buatan sendiri dirampas

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senapang angin menggunakan bebola besi sebagai peluru antara 295 pucuk senjata api buatan sendiri yang dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh dua tahun sejak 2021 hingga Jun lalu.

Senjata buatan sendiri seperti bakakuk, ginsuk dan senapang guli antara senjata paling popular dan digunakan meluas terutama di Sabah dan Sarawak bagi tujuan memburu dan menjaga kebun daripada ancaman hidupan liar, dan kebanyakan senjata buatan sendiri boleh dipelajari menerusi YouTube.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam tempoh sama sebanyak 23 kes jenayah melibatkan bom buatan sendiri direkodkan.

Menurut beliau, kes-kes yang direkodkan tidak melibatkan unsur jenayah dan isu keselamatan negara sebaliknya penggunaan bahan letupan tersebut banyak digunakan untuk aktiviti menangkap ikan

“Berdasarkan risikan, terdapat segelintir nelayan membuat bom buatan sendiri bertujuan untuk aktiviti menangkap ikan.

“Dengan penggunaan bom ikan buatan sendiri, nelayan-nelayan mendapat hasil tangkapan ikan dengan lebih mudah dan banyak,” katanya di sini semalam.

Kata Razarudin, terdapat juga kes bom buatan sendiri digunakan untuk memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi tujuan mencuri duit yang tersimpan dalam mesin tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, kebanyakan kes yang berlaku adalah kes terpencil.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, Sabah mencatatkan kes tangkapan paling tertinggi membabitkan pembuatan bom buatan sendiri dengan sebanyak 15 kes direkodkan diikuti Selangor (empat kes); Sarawak (dua kes) dan Perak serta Kuala Lumpur masing-masing (satu kes).

“Selain itu, terdapat empat kes bom buatan sendiri yang disiasat kita (polis) di bawah Kanun Keseksaan iaitu tiga kes melibatkan pecah ATM di Selangor selain satu kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang berlaku di Ampang tahun lalu,” jelasnya.

Razarudin berkata, bagi kes senjata api buatan sendiri pula, berdasarkan statistik menunjukkan kontinjen Sabah telah mencatatkan rampasan yang tertinggi dengan 113 pucuk senjata api dirampas diikuti Sarawak (51 pucuk); Pahang dan Kelantan masing-masing 19 pucuk.

Tambah beliau, sebanyak 17 pucuk senjata api buatan sendiri turut kita (polis) rampas di Johor diikuti Melaka (16 pucuk), Kedah (15 pucuk) selain Perak dan Negeri Sembilan (masing-masing 14 pucuk), Terengganu (13 pucuk), Perlis (tiga pucuk) serta Selangor (satu pucuk).

“Kebanyakan rampasan dibuat adalah senapang jenis bakakuk yang mana bentuk senapang ini lebih kurang sama dengan senapang patah dan menggunakan peluru jenis peluru tabur.

“Berdasarkan soal siasat dibuat, peluru tabur ini diperoleh dengan cara dibeli daripada pelesen senjata api yang sah. Justeru itu, kes-kes ini kita (polis) akan siasat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 pemilikan peluru tabur dan senjata api buatan sendiri,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Razarudin berkata, perkembangan teknologi di media sosial telah memberi kesempatan kepada individu-individu tertentu untuk mengkaji untuk mendapatkan maklumat mengenai pembuatan senjata api termasuk bom buatan sendiri secara mudah di media sosial.

Kata beliau, berdasarkan risikan pihaknya, terdapat beberapa video yang menunjukkan cara-cara untuk membuat senjata api buatan sendiri terutamanya di YouTube.

“Selain itu, bahan-bahan untuk membuat senjata api termasuk bom ini sangat mudah diperoleh di pasaran terbuka dan perniagaan atas talian.

“Contoh yang sangat jelas adalah kes bunuh yang berlaku di Ampang Jaya pada tahun lalu berdasarkan soal siasat terhadap suspek kes berkenaan dia mengakui telah mempelajari membuat bom buatan sendiri di YouTube,” jelasnya.

Razarudin turut mengingatkan, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku pembuatan senjata api termasuk bom buatan sendiri melibatkan unsur-unsur sabotaj atau keganasan terhadap ketenteraman awam negara.

“Kita akan pantau dan dapatkan maklumat melalui risikan selain tindakan tegas boleh diambil melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi kesalahan jenayah terancang dan kekerasan yang mana hukumannya 10 tahun atau lebih.

“Masyarakat di semua peringkat perlu bertanggungjawab dalam mengingatkan orang sekeliling mereka supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah. Malah, kita (polis) sering juga menerangkan kepada orang awam berkaitan bahaya bom buatan sendiri semasa pameran-pameran yang diadakan bagi memupukkan kesedaran awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN