AMPANG JAYA: Malaysia perlu meneroka dan mewujudkan industri yang lebih mampan serta mampu menjadikan negara lebih berdaya saing sekiranya mahu mencapai kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Malaysia tidak boleh kekal menerajui dalam industri tertentu sahaja jika mahu berada dalam kelompok ekonomi terbesar dunia itu.
Kata beliau, Malaysia masih terkebelakang dalam mewujudkan ekosistem yang menyeluruh.
“Sebagai contoh, dalam industri minyak dan gas, Malaysia harus mewujudkan industri sampingan dari upstream hingga downstream termasuk menghasilkan industri yang mengilang peralatan dan mesin untuk memproses minyak serta gas. Tetapi ini tidak terjadi.
“Sekarang Malaysia ada potensi dalam industri nadir bumi, cuma diharap jangan jadi seperti industri minyak gas. Untuk industri nadir bumi, kita harus menguasai seluruh ekosistem dan tidak hanya melombong dan mengeksport bahan mentah kerana kita kerugian nilai tambah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Malaysia menyasarkan menjadi antara 30 kuasa ekonomi terbesar dunia menerusi pelan komprehensif bagi memastikan kekayaan negara dikongsi semua lapisan masyarakat.
Dinamakan Ekonomi Madani, rangka dan hala tuju perancangan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin turut menggariskan enam penanda aras lain yang akan mengembalikan status Malaysia sebagai kuasa ekonomi ulung di Asia.
Anwar turut menggariskan sasaran Malaysia antara 12 negara teratas dalam Indeks Daya Saing Global dan mencapai 45 peratus pendapatan tenaga kerja daripada jumlah keseluruhan pendapa- tan dalam masa kurang 10 tahun. – UTUSAN










