PRN jadi penanda aras Kerajaan Madani

PRN jadi penanda aras Kerajaan Madani

KEKUATAN Kerajaan Perpaduan memasuki PRN banyak tertumpu kepada kompromi antara PH dan BN dalam pembahagian kerusi serta pemilihan calon selain tiada sabotaj dalaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi menjadi penanda aras terhadap penerimaan rakyat kepada Kerajaan Madani yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Negeri-negeri yang terlibat dalam PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mengikut Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023, jumlah pengundi yang diwartakan di keenam-enam negeri itu 9,781, 416 orang.

P. SIVAMURUGAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, ketika ini, suhu politik masih tahap sederhana untuk menggambarkan sama ada gabungan Perikatan Nasional (PN) atau gabungan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan lebih menyerlah.

Kata beliau, gembar-gembur bahawa ‘gelombang hijau’ sedang menguasai PRN termasuk di Selangor masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.

“Kita masih tidak boleh mengatakan bahawa ketika ini gelombang hijau yang ditunjangi terutama oleh Bersatu dan Pas sedang ke depan atau gabungan PH serta BN sedang mengatasi gelombang hijau,” katanya ketika dihubungi.

Sabotaj

Bagaimanapun, kata Sivamurugam, jika melihat kepada Kerajaan Perpaduan, kekuatan untuk memasuki PRN banyak tertumpu kepada kompromi antara PH dan BN dalam pembahagian kerusi serta pemilihan calon.Selain itu, kata beliau, kekuatan Kerajaan Perpaduan bergantung kepada tidak berlaku sabotaj dalaman membabitkan parti-parti yang bernaung di bawah kerajaan ketika ini.

“Sabotaj ini perlu dihindari kerana pembangkang juga membina naratif secara teratur membabitkan penerimaan BN terhadap calon PH serta sebaliknya,” kata beliau.

Sivamurugam berkata, jika kerajaan perpaduan boleh mengatasi segala masalah tersebut seperti yang dikempen PN, maka PRN di enam negeri tersebut tidak mengugat penguasaan pentadbiran kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Kalau itu boleh berlaku maka ada kemungkinan PH dan BN ada potensi menang. Menang dan kemudian menjadi penanda aras Kerajaan Perpaduan memang disenangi rakyat.

“Kita perlu tahu di Selangor sahaja ada 34 kerusi majoriti Melayu dan di Pulau Pinang ada 15 kerusi majoriti Melayu. Setakat sekarang memang dijangkakan ada kerusi yang akan hilang di tangan PN namun semua masih boleh dimantapkan jika BN dan PH boleh mengatasi jurang yang wujud,” katanya.

Pada PRU15 November lalu, PN membuat kejutan selepas menang sebanyak 73 kerusi Parlimen sekali gus meninggalkan BN yang hanya menang 30 kerusi. Pada masa sama, PH turut merekodkan penurunan kerusi Parlimen dimenangi iaitu 81 berbanding 121 kerusi dimenangi pada PRU14.

MAZLAN ALI

Sementara itu, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, gelombang hijau sejak PRU15 masih dirasai tetapi tidak serancak seperti ketika pilihan raya umum itu.

“Pada PRU15, PN mendapat jumlah (kerusi) tersebut kerana ada tiga penjuru contohnya di Sabak Bernam PN menang 2,180 undi atau di Tanjong Karang, majoriti PN 5,056 undi.

“Dengan kerjasama PH dan BN, memang ada kemungkinan pasukan Kerajaan Perpaduan boleh menang. Tidak dinafikan ada sebahagian kawasan ada masalah pada UMNO tetapi itu bukan isunya kerana UMNO atau BN biasanya ada sekurang-kurangnya 30 peratus fixed deposit yang bermaksud di akar umbi, masih ada sokongan tetap.

“Usaha kerajaan untuk membantu rakyat juga sudah mula dirasai sendiri oleh golongan pemuda serta B40. Jadi sememangnya ada peluang untuk menang PRN. Kita tidak boleh perkecil kekuatan kerajaan,” katanya.

Peluang

Walaupun begitu, beliau mengakui PN ada peluang besar untuk terus mempertahan Kelantan dan Kedah manakala UMNO mempunyai peluang untuk menang di Terengganu.

“Kelantan dan Kedah mempunyai potensi besar untuk kekal menjadi milik PN tetapi tidak untuk Terengganu kerana UMNO ada sokongan di negeri itu terutama jika perantau tidak balik mengundi kerana yang membantu Pas menang adalah golongan perantau,” katanya.

Menurut Mazlan lagi, sudah tentu pretasi PRN di keenam-enam negeri itu menjadi tanda aras kepada Kerajaan Perpaduan dalam mentafsir penerimaan rakyat.

Kata beliau, parti-parti yang menyertai kerajaan perpaduan perlu mencipta prestasi baik di negeri-negeri yang berdepan PRN yang akan menjadi ukuran sama ada kerajaan gabungan PH dan BN boleh diterima atau sebaliknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×