PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) perlu memberi kata dua kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selepas secara jelas sering mengambil tindakan membelakangkan semangat Kerajaan Perpaduan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, PH perlu lebih tegas dan Muda juga perlu lebih gentlemen atau bersikap budiman serta beradab berundur diri daripada bersama Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, ini kerana walaupun berbeza pandangan, tetapi parti itu tidak menunjukkan disiplin asas berpolitik dalam organisasi.
“Bila mana Muda masuk Pilihan Raya Negeri (PRN) misalnya di Selangor sebagai kapasiti parti itu sendiri, itu sahaja sudah membelakangi semangat setiakawan.
“Tindakan Muda yang memberi pendekatan menyinggung perasaan tidak sesuai pada saat ini di mana kita perlu bertempur dengan pembangkang yang memainkan isu 3R (raja, agama, kaum).
“Sepatutnya kalau dalam Kerajaan Perpaduan, kamu (Muda) bagi solusi, tetapi sekarang selalu serang (kerajaan), bagaimana pimpinan mahu percaya Muda betul-betul ikhlas dalam perjuangan?” Soalnya ketika dihubungi, semalam.
Syed Saddiq sebelum ini dilihat lantang mengkritik kerajaan terutamanya menjelang PRN pada 12 Ogos.
Muda juga mengambil pendirian bertanding solo di enam PRN sebelum membentuk kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mengulas lanjut, Nabil berkata, langkah Muda yang lebih memilih bertanding di Selangor juga secara tidak langsung menyaksikan mereka lebih setuju dengan politik pembangkang.
“Mengapa perlu langgar kerusi di Selangor? Kenapa tidak bertindak di Kedah, adakah Muda seakan-akan mempersetujui kepimpinan dan politik dibawa Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor)? Adakah Muda proksi kepada Perikatan Nasional (PN)?
“Jadi, PH kena tegas dan Muda perlu jadi gentlemen tidak bersama Kerajaan Perpaduan, sangat jelas kenapa serang di Selangor, padahal Selangor ramai calon muda komited di kawasan,” katanya.
Nabil menambah, Muda sepatutnya memilih pendekatan yang lebih lembut sekiranya mahu menjadi semak imbang terhadap kerajaan dan bukannya dengan menyerang secara terbuka.
“Kalau kepentingan untuk rakyat itu lebih utama, dan kita tahu rakyat ketika ini dahagakan kestabilan politik, jadi perpaduan itu harus diterjemahkan menerusi langkah-langkah yang diambil.
“Pada masa sama, kalau betul Muda mahukan politik baru dan menjadi kuasa ketiga, maka parti itu patut pergi kepada kuasa ketiga.
“Bagi saya, tindakan Muda ini cuma langkah populis dan kurang matang serta tidak menyambut semangat perpaduan dan setiakawan,” katanya. – UTUSAN










